Alhamdulillah, kuliah kami di bilik kuliah Masjid Negeri Sabah kali ini berjalan lancar dan tambah berseri dengan kehadiran Ybhg Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din selaku pengasas dan penasihat Darussyifa’ sendiri yang datang ke Sabah. Jujurnya saya sendiri berdebar adakah beliau dapat datang ke Sabah lagi setelah menjalani pembedahan jantung di Amerika Syarikat pada 10 September lalu dan baru pulang dua minggu lepas.

Syukur teramat sangat apabila menatap wajah beliau hadir dan menurunkan sendiri ilmunya khususnya mengijazahkan ruqyah asas kedua dan ketiga serta huraiannya satu demi satu. Beliau bersama kami selama 5 jam dan kemudian disambung oleh Ustaz Ikram (Darussyifa’ Sarawak) selama sejam setengah yang berbaki. Ustaz Akram Zaki juga membimbing solat hajat dan bacaan ruqyah pada awal pagi (tanpa kehadiran tuan guru). Huraian Tuan Guru dalam kuliahnya sangat menarik perhatian kami dan beliau merangkumkan dalam sesi pagi hingga ke tengahari sehingga merumuskan buku jilid kelima (terakhir).

Kuliah kami bertambah meriah dengan kehadiran hampir 40 peserta Darussyifa’ cawangan WP Labuan yang datang sekumpulan menaiki bas sewa dan bermalam di Tabung Haji. Alhamdulillah, terjalin persahabatan walaupun pertemuan kami tidak begitu lama. Beberapa orang adalah kalangan sahabat-sahabat yang saya kenali bahkan rakan sepengajian seperti Ustaz Haji Sahrum Samlan, Ustaz Haji Noorazlan Mahmud, juga beberapa orang yang saya kenali seperti Ustaz Ahmad Junid Aling, Sdr Hadnan Mohammad dan lain-lain.