Khatib : Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim

Lokasi : Masjid Negeri Sabah

Saat ini umat Islam yang terpilih menjadi tetamu Allah SWT mulai memasuki tanah suci al-Makkah al-Mukarramah dan al-Madinah al-Munawwarah untuk melaksanakan ibadah haji, rukun Islam yang kelima. Umat Islam termasuk dari negeri Sabah dalam suasana bergembira dan bersyukur kerana sebahagian mereka dipilih oleh Allah SWT menjadi tetamu-Nya. Maka kita yang belum berkesempatan, hendaklah mengambil kesempatan di setiap ketika untuk berdoa agar diberi rezeki sampai kepadanya.

Allah SWT telah mengkhususkan umat ini dengan dua hari raya – Idul Fitri dan Idul Adha dan telah menentukan ibadah puasa sebelum meraikan kedua-dua hari raya ini. Idul Fitri telah didahului dengan puasa wajib di dalam bulan Ramadhan, sementara Idul Adha telah didahului dengan ibadah puasa sunat khususnya pada 8 dan 9 Zulhijjah dengan janji ganjaran yang hebat daripada Allah SWT kepada yang menunaikannya iaitu diampunkan dosa dua tahun, – dosa setahun sebelum dan setahun selepas.

Allah SWT juga telah mensyariatkan ibadah qurban yang telah dimulakan sejak Nabi Ibrahim AS dan disyariatkan semula pada zaman Nabi Muhammad SAW dengan janji keampunan dosa kepada mereka yang melakukannya dengan hati yang ikhlas kepada Allah SWT. Ia juga menjadi suatu syiar Islam membuktikan ketaqwaan orang-orang yang beriman kepada-Nya dan mahu tunduk melaksanakan perintah-Nya.

Firman Allah : Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar ugama Allah maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.(al-Hajj : 32)

Firman Allah : Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya. (al-Hajj : 37)

Justeru itu Rasulullah SAW memberikan amaran tentang mereka yang memandang remeh ibadah qurban, tidak mahu melakukannya walaupun dalam keadaan mampu dan mempunyai kelebihan harta, agar tidak mendekati tempat solat orang beriman, yakni tidak usah menyertai solat hari raya. Namun begitu bagi yang hendak melaksanakannya, hendaklah mempunyai ilmu pengetahuan tentangnya, mengetahui masa melakukannya, cara pembahagiannya, kaedah memberi wakil dan seumpamanya.