Saya tabik kepada kesungguhan dan keistiqamahan mereka yang terlibat di Masjid al-Hilal Kg Tanjung Dumpil Putatan menganjur dan menyertai kelas Talaqqi al-Quran yang dibimbing oleh Ybhg Datuk Haji Mokhtar Rapok al-Hafiz. Saya dimaklumkan kelas berkenaan bermula sejak 4-5 tahun lalu (sejak masjid lama, masjid sementara dan kini masjid baru), diadakan selepas solat maghrib, bersambung selepas solat isyak sehingga lewat malam sekitar jam 10-11 malam, seminggu sekali, setiap isnin malam selasa.

Ramai atau sedikit yang hadir, kelas tetap berlangsung dan ketabahan Ybhg Datuk Haji Mokhtar membimbing mereka wajar dihargai. Saya mengetahui betapa cintanya beliau terhadap kelas-kelas pengajian al-Quran. Di Masjid Negeri Sabah, kelasnya sudah berlangsung lebih 25 tahun lalu, pelajar dewasa yang silih bertukar ganti, beralih lokasi bawah ke atas ke bawah, beliau tetap menjalankan tanggungjawabnya.

Dalam singgahan sebentar saya di masjid berkenaan tempohari, sempat juga saya melontarkan beberapa pandangan dan cadangan untuk menarik lebih ramai masyarakat ke masjid, baik golongan dewasa, remaja, kaum ibu, atau kanak-kanak. Fizikal Masjid al-Hilal sudah berubah wajah apabila bangunan baru berharga RM1 juta sudah mula diguna sebelum Ramadhan tempohari, tetapi jamaah lima waktu masih seperti sebelum ini.

Masjid baru, maka JK mesti punya semangat baru khususnya merangka aktiviti menarik masyarakat. Tiada salahnya mencari ruang untuk melawat masjid-masjid lain yang aktif (sama ada di Sabah atau luar Sabah), melihat aktiviti masjid lain yang boleh dikongsi sama. Kelas-kelas untuk kaum ibu seperti fardhu ain, kemahiran rumah tangga, mewujudkan Facebook Masjid bagi menarik belia mengetahui aktiviti masjid dan perbincangan sihat di dalam forum FB dan sebagainya boleh difikirkan. JK wajar mengadakan sesi brainstorming untuk meningkatkan fungsi masjid, memasyarakatkan masjid dan memesrakan masjid untuk semua.

Berbalik program talaqqi al-Quran di Masjid al-Hilal, masing-masing akan membaca sukatan al-Quran masing-masing untuk disemak oleh Ybhg Datuk, dan ia tetap membuka ruang kepada orang baru untuk menyertai kelas ini bila-bila masa saja. Silakan hadir ke masjid anak bulan ini.