Sekalung penghargaan dan tahniah buat semua yang terlibat menjayakan Sukaneka Tahunan PASTI Kawasan Putatan 2011 yang kali ini berlangsung di Tanjung Lipat Likas. Ia sudah tentu daya usaha dan kudrat yang bersungguh oleh para guru PASTI, seluruh JK terlibat, para ibu bapa dan teristimewa sekali ialah anak-anak yang berada di medan sukaneka berkenaan. Kehadiran kira-kira 400 tetamu khususnya ibu bapa dan keluarga masing-masing yang sangat sporting terhadap perjalanan acara kali ini amatlah dihargai.

Tahun kedua berturut-turut pula saya tidak dapat menghadiri majlis ini kerana berada di Labuan untuk menghadiri acara kekeluargaan di sana. Kasihan juga anak-anak kami – Hana dan Abdul Hadi yang tidak dapat saya raikan keseronokan mereka bersama-sama, juga berada di sisi Hana khususnya kerana bersedih tidak mendapat walau sekalung medal. Petang yang sama saya pulang dari Labuan, dia kelihatan tidur lena dan merajuk, sementara Abdul Hadi riang gembira mendapat satu medal setelah kumpulan PASTInya menduduki tempat ketiga dalam acara tarik tali.

Saya meninggalkan kamera kepada isteri dan Nuha untuk mereka pandai-pandai merakam majlis berkenaan. Namun barangkali naluri ibu kebanyakannya merakam aksi PASTI di mana anak-anak belajar, juga keterbatasannya bergerak bebas kerana terpaksa menjaga bayi kecil kami Muhammad Ubayy yang belum berusia 2 bulan pun. Walaubagaimanapun nikmatilah sebahagian foto yang telah dirakamkan.

Terima kasih Sdr Lahirul Latigu yang merasmikan majlis, tahniah buat semua khususnya gerombolan PASTI al-Amal Kg Likas yang menjuarai kejohanan kali ini.