Archive for 1 Oktober 2011


Notis yang diberikan oleh penganjur kurang 24 jam dan kebetulan saya berkelapangan untuk mengisi slot di tingkat 5 Jabatan Pelajaran Negeri, Rumah Persekutuan dengan tajuk yang dipersetujui bersama. Tarikh yang hampir sama tahun lalu (selepas Ramadhan), saya menyampaikan tajuk ‘muhasabah Ramadhan’ di lokasi yang sama dan tahun ini ‘muhasabah raya’ kerana melihat umat Islam terlalai dalam kaedah dan cara menyambut hari raya (walaupun bukan 1 syawal) dalam konteks masyarakat kita yang mengadakan sambutan sepanjang bulan.

Antara perkara yang ditekankan dan sempat disinggung ialah hiburan melampau seperti majlis tari menari dan nyanyian luar syariat atas nama hari raya aidil fitri, pergaulan bebas, meninggalkan ibadah wajib kerana sibuk berziarah, mengabaikan adab bertamu dan menerima tetamu, budaya main mercun, masalah duit raya dan zahirnya sifat mazmumah seperti riak, sombong, angkuh, pembaziran dan lain-lain.

Saya bimbang jika ia tidak ditangani dan dibiarkan begitu saja, ia akan terus berleluasa dan melarat, justeru akhirnya memberi gambaran songsang dan buruk tentang cara sebenar umat Islam diajar menyambut hari raya. Terima kasih atas undangan dan mohon maaf kerana saya akui kerana banyak perkara sensitif terpaksa disebut walaupun menyinggung perasaan kerana suasana yang sudah agak teruk dalam masyarakat menyambut hari raya aidil fitri.

%d bloggers like this: