Ini penampilan sulung Ustaz Musally Moksin, bos kami di Bahagian Penyelidikan dan Informasi JHEAINS memberikan tazkirah di Masjid Negeri Sabah khususnya tazkirah zuhur setiap rabu anjuran Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah. Beliau agak kurang tampil di hadapan khalayak tetapi medan sebenar beliau adalah melalui tulisan-tulisannya melalui teks-teks khutbah, artikel agama terbitan JHEAINS. Saya ada menawarkan beliau untuk mengisi slot tazkirah zuhur dan tanpa diduga beliau bersetuju.

Tazkirah beliau sekitar 35 minit berlegar tentang ciri-ciri atau contoh-contoh ajaran/fahaman sesat dan salah yang berlegar dalam masyarakat. Tajuk itu juga sebenarnya adalah cadangan saya juga. Beliau menggariskan beberapa ajaran yang berkait berkenaan aqidah, syariat dan akhlak Islam yang selalu diselewengkan mengikut hawa nafsu mereka semata-mata, misalnya seorang ketua kumpulan ajaran sesat mengakui dirinya menjadi nabi akhir zaman, menerima wahyu dan pelbagai dakwaan luar biasa lagi. Ada juga kumpulan ajaran sesat mendakwa seperti tidak perlu solat, puasa cukup 3 hari saja, pada awal, pertengahan dan akhir Ramadan.

Dalam laporan yang kami terima, terdapat juga bentuk ajaran yang mendakwa boleh melakukan perkara-perkara pelik yang berkaitan dengan perkara ghaib seperti memanggil roh orang mati. Mereka juga melarang ahli jangan bergaul dengan masyarakat atau kumpulan selain mereka, tidak menerima sembelihan haiwan selain sembelihan ketua mereka sekaligus memaksa dan mengugut ahli dengan pelbagai cara, seperti jika tidak yakin akan ditimpa musibah dan sebagainya.

Saya ada berbincang dengan beliau kalau ciri-ciri seumpama ini dapat diposterkan dan disebarkan seluruh negeri melalui masjid, surau, bangunan-bangunan jabatan kerajaan dan seumpamanya. Tentang tazkirah beliau, insya Allah kami akan mengundang lagi dengan topik lain pula.