Bermula dengan dua orang

 

Tidak mudah juga memulakan kembali  kuliah maghrib di surau, setelah bercuti lebih 2 bulan. Kuliah tajwid dan tafsir ringkas al-Quran di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral mula bercuti 2 minggu sebelum Ramadhan, kerana kebetulan saya keluar daerah dan beberapa urusan lain. Cuti berterusan ketika Ramadhan dan Syawal dan hanya baru dimulakan tepat 1 Zulkaedah semalam.

Sudah menjadi kebiasaan maghrib di surau ini agak lengang khususnya pada hari-hari bekerja. Kuliah yang saya diamanahkan di surau  ini berjalan pada setiap rabu sejak 3 tahun lalu. Ia tidak bermula tepat selepas solat maghrib tetapi hanya bermula selepas jam 7 malam, biasanya. Kadang-kadang bermula jam 7.20 malam, bergantung waktu kehadiran saya sendiri (kerana saya perlu balik ke rumah dahulu menghantar isteri dan anak) dan juga kehadiran jamaah yang bersedia untuk belajar subjek ini.

Kuliah semalam bermula pada jam 7.10 malam dengan 2 orang iaitu Tuan Haji Fauzi How dan Nizar Ramlan (foto atas) dan berakhir pada jam 8.40 malam dengan kehadiran 15 orang. Mudah-mudahan minggu hadapan lebih ramai. Bukan setakat hadir dan dengar kuliah tetapi juga ikut bersama-sama bertalaqqi dan bermusyafahah sejak awal sehingga kuliah berakhir. Yang berdekatan, jemput hadir kuliah berkenaan di surau Riyadhus Solihin Taman Austral setiap rabu bermula jam 7 malam.