Archive for 28 September 2011


Hari terakhir Syawal dipilih bagi 15 agensi Islam di Sabah untuk mengadakan majlis hari raya yang diadakan di Dewan Saadah Wisma MUIS Kota Kinabalu. Antara yang terlibat ialah JHEAINS, JAKIM, Pejabat Mufti, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah, Takaful Malaysia, YPEIM, YADIM, MUIS, Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS), Bank Ar-Rajhi, USIA, Gabungan NGO Islam (CONCERN) dan lain-lain dengan tetamu khasnya YB Datuk Haji Nasir Tun Sakaran, Menteri di Jabatan Ketua Menteri.

Menariknya setiap agensi berkenaan menyediakan gerai masing-masing dan terpulang kepada tetamu untuk memilih hidangan yang digemari. Para tetamu pula adalah terbuka kepada semua, termasuk di kalangan bukan Islam yang bersama-sama memeriahkan majlis berkenaan. Ia lebih meriah apabila diadakan pertandingan gerai terbaik. Ia dimenangi oleh JAKIM (pertama), JHEAINS (kedua), dan Pejabat Mufti (ketiga).

Dalam pada itu idea menggabungkan agensi Islam ini sangat menarik bagi memperlihatkan kesatuan agensi Islam, dan rasanya ia boleh dikembangkan lagi pada tahun-tahun mendatang. Ini kerana masih ada agensi berteraskan Islam yang tiada (sama ada tidak dijemput atau tidak dapat hadir) seperti bank-bank patuh syariah yang lain seperti bank rakyat, bank Islam, CIMB Islamik, atau syarikat takaful yang semakin mendapat tempat di hati ummat. Saya kira masjid-masjid utama juga patut diberi peluang (walaupun mereka di bawah JHEAINS), untuk meramaikan lagi peserta agensi Islam. Begitu juga NGO Islam, terutama yang tidak bergabung dengan CONCERN sebaiknya dapat diundang sama.

Di balik kemeriahan suasana majlis ini, hanya satu saya kurang berkenan. HiburanĀ  penyanyi wanita! Kalau kononnya hendak lagu raya, memadailah hanya penyanyi lelaki. Bahkan saya dengar sebahagiannya tidak sekadar lagu raya tetapi sudah melencong ke lagu-lagu lain. Saya harap penganjur akan memandang berat hal ini dan boleh membincangkannya secara ilmiah dan jujur.

Tajuk asal : Penduduk Kampung Labi masih hidup dalam serba kekurangan

Sumber : The New Sabah Times (BM) 28 September 2011, muka suratĀ  7.

BEAUFORT : Walaupun negara sudah merdeka 54 tahun ini, masih ada yang merasai seperti zaman penjajah ketika dahulu dengan hidup serba kekurangan tanpa bantuan infrastruktur seperti bekalan elektrik, air bersih dan jalan berturap. Inilah yang dialami oleh penduduk Kampung Labi terdiri daripada kira-kira 365 penghuni terpaksa menanggung kepayahan kehidupan dalam kedaifan sedangkan kawasan lain sudah menerima bantuan kemudahan.

Bukan itu sahaja, rata-rata penduduk sanggup membeli set janakuasa yang kebiasaannya digunakan pada waktu malam di samping menempuh perjalanan berliku kerana tiada laluan alternatif seperti jalan bertar masuk ke kawasan berkenaan. Ketua kampung, Mat Rawi Burui, 43, berkata sudah sekian lama mereka menghadapi pelbagai masalah berkenaan terutama kekurangan bantuan seperti kemudahan bekalan elektrik dan bekalan air minuman yang bersih.

“Rata-rata penduduk kampung di sini bekerja sebagai pekebun ladang sawit dan kebanyakan amat daif sekali. Oleh kerana ketiadaan sumber air yang bersih, kami terpaksa mengambil inisiatif menadah air hujan untuk makan dan minum sementara untuk mandi pula akan ke sungai ataupun takungan paya”, katanya. “Kami sangat sedih akan nasib yang menimpa ini sedangkan hanya beberapa kilometer sahaja dari Pekan Beaufort, jadi kita merayu agar pihak berkenaan untuk mengambil perhatian terhadap masalah terbabit,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg. Labi, Abdul Rasman Abu Bakar, 57, tahap keselamatan perjalanan juga antara masalah utama bagi penduduk kerana mereka menyeberang Sungai Padas untuk ke pekan, sekolah anak-anak dan klinik kesihatan.

“Bayangkan kami terpaksa menempuh perjalanan kira-kira 6 kilometer yang dipenuhi hutan sawit untuk tiba ke laluan denai sungai dan pernah beberapa kali terjadi golongan wanita di sini mahu bersalin dengan melalui kawasan berkenaan, ” katanya. Menurutnya, mereka telah membawa masalah kampung itu ke pihak berkait seperti projek jalan raya Kampung Ramasih-Sungkadan, Lumadan dekat sini masih juga tidak mempunyai perkembangan lanjut mengenai statusnya.

“Saya juga telah melakukan aduan tersebut ke akhbar pada 21 September lalu dan berharap ia mendapat perhatian banyak pihak. Ini kerana selama berpuluh tahun kami di sini tiada jalan alternatif untuk memudahkan penduduk agar bergerak dari kawasan kampung ke pekan. Malah atas sebab itu jugalah, banyak anak-anak gagal ke sekolah yang terletak di kawasan Gadong kerana takut untuk menyeberangi sungai lebih-lebih lagi pada musim hujan dan menyebabkan arus air semakin deras serta berbahaya, ” katanya sambil menambah mereka telah memohon kemudahan infrastruktur jalan raya sejak 1980an lagi.

Dalam pada itu, seorang warga emas di situ, Majid Abus, 70, berkata sejak daripada meredeka keadaan di kampung berkenaan masih belum berubah lantaran ketiadaan kemudahan seperti mana dimahukan semua rakyat jelata dan perkara itu amat menyedihkannya.

“Kita tidak mahu menuding jari kepada sesiapa dan menuduh mana-mana pihak enggan untuk bertanggungjawab masalah penduduk di sini, namun demikian saya merayu agar masalah kami diberi perhatian sewajarnya. Sudah 54 tahun kita merdeka, nasib penduduk di kawasan pedalaman seperti kami masih di takuk lama dan sehubungan itu bantulah penghuni Kampung Labi ini. Kami hanya mahukan sedikit pembangunan demi generasi muda di sini,” katanya.

– oleh Mohd Ridzal Abdullah (ridzal@newsabahtimes.com.my)

%d bloggers like this: