Pagi tadi saya mengambil sedikit ruang untuk membelek-belek akhbar hujung minggu – sabtu dan ahad yang belum berkesempatan dibaca. Laporan yang menarik perhatian ialah foto-foto berkenaan sambutan hari raya di pelbagai lokasi yang sudah menjadi kebiasaan masyarakat kita mengadakannya sepanjang bulan Syawal.

Secara asasnya saya tidak bermasalah berkenaan hal itu, tapi saya melihat ada sesuatu yang tidak kena jika beberapa pengisian dalam majlis-majlis sambutan hari raya aidil fitri yang tidak kena dengan tuntutan agama. Menggunakan istilah sambutan atau jamuan aidil fitri yang mana aidil fitri adalah suatu anugerah Allah SWT hamba-Nya yang bertaqwa, kemudian cara sambutannya diselewengkan oleh manusia-manusia yang biadab terhadap agama dan Tuhannya sendiri.

Adakah mereka cuba mahu menghalalkan sambutan hari raya (meski bukan lagi 1 syawal) dengan menggabungkan ungkapan merdeka raya, lalu menyambutnya seperti orang yang sudah hilang nilai ketaqwaannya, tiada perasaan malu langsung lalu dibuat majlis tari menari atas nama bergembira pada majlis hari raya atau seorang perempuan beragama Islam yang lengkap bertudung dan menutup aurat tetapi bangga berkaraoke di khalayak ramai?

Apa pun statusnya, atau siapa pun penganjurnya, saya kira pihak SS Mufti Kerajaan Negeri Sabah wajar mengeluarkan garis panduan sambutan hari raya yang sebenarnya. Apa yang diharuskan, apa yang dilarang. Kemudian garis panduan itu diedarkan ke kementerian-kementerian dan jabatan, para pemimpin politik, kerana kalau sudah pemimpin yang memulakannya atau paling tidak merestui dan membiarkannya, maka rakyat bawahan mereka akan menuruti tabiat pemimpin berkenaan.

Pemimpin politik biasanya berucap (baca : membaca teks) sempena sambutan maal hijrah, maulidur rasul, tilawah al-Quran dan mana-mana perayaan Islam menyeru umat Islam kembali kepada al-Quran (kononnya!) kemudian mereka juga yang terlibat dengan pesta maksiat yang berlapikkan atas nama kebudayaan dan kesenian bangsa.  Saya berlepas diri dengan pemimpin yang bersikap begini. Saya bimbang jika ia tidak dijelaskan cara sambutan yang sebenar, mana yang boleh atau sebaliknya, kanak-kanak, remaja, atau masyarakat bukan Islam akan memandang, beginilah rupa bentuk ajaran Islam menyambut hari raya.

Saya rakamkan kembali beberapa keratan akhbar yang memaparkan sambutan hari raya dan pengisian mereka. Itu pun hanya sabtu dan ahad lalu. Saya tidak berhajat memalukan sesiapa tetapi akhbar yang sudah terlebih dahulu menyiarkan laporan berita sambutan hari raya di sana sini. Alangkah baiknya kalau kita mahu mengaku kesilapan dan semoga Allah mengampuni kesalahan dan dosa tersebut. Bertaqwalah kepada Allah.