Sejak tengahari sabtu hingga sekitar jam 11 pagi ahad semalam, berlangsung kursus haji perdana 1432H di Masjid Negeri Sabah. Kawasan parkir masjid agak sesak, pertamanya dengan kenderaan bakal jamaah haji dan juga kami peserta Kursus Pengubatan Islam Darussyifa’ yang turut mengadakan kelas di masjid berkenaan.  Sebahagian parkir juga ditutup dan digunakan untuk sesi latihan praktikal tawaf dan saie buat lebih 400 jamaah yang berkampung di masjid.

Tidak seperti tahun lalu, tahun ini saya tidak dapat membuat liputan penuh majlis berkenaan kerana bertembung dengan kelas pengajian kami walaupun berada di masjid dalam tempoh kursus haji perdana juga. Walaubagaimanapun, alhamdulillah saya dapat bertemu dengan ramai saudara, kenalan keluarga dari Labuan dan juga kenalan di sini termasuk jamaah-jamaah masjid yang selalu saya temui khususnya ketika waktu rehat dan solat isyak pada malam minggu.

Antara yang saya temui ialah Pakcik (kami memanggilnya Tangah) Osman Jalil – abang kandung kepada mama yang datang dari Labuan, Makcik Siti Rapiah dan suami merupakan bekas staf bapa di SMK Membedai Labuan sewaktu saya kecil yang bertahun-tahun tidak saya temui. Jamaah haji dari Labuan dimaklumkan seramai 37 orang.  Saya juga dapat bersalaman, mengucap tahniah dan selamat kepada Ybhg Datuk Ilyas Ibrahim (mantan mayor), Sdr Ladim Abd Rahman (Kota Belud), Sdr Hamdan (Bank Islam) yang menjadi petugas di sana dan ramai lagi. Begitu juga Tuan Imam Haji Madli Mansur yang akan menjadi pembimbing haji kali ini bersama-sama Ustazah Zaiton dan lain-lain.

Keseluruhan sebagaimana yang dimaklumkan, terdapat 919 bakal haji dari Sabah ke tanah suci tahun ini. Saya setuju dengan saranan dan pandangan YB Datuk Haji Nasir Tun Sakaran agar pihak berkenaan dapat menambah lagi jumlah bakal haji dari Sabah. Bagi saya naikkan sehingga kadar sekali ganda – sehingga dua ribu orang. Bukan sekadar menjimatkan tempoh tahun menunggu kepada para pendeposit tabung haji, tetapi sebagai satu tarikan dakwah kepada umat Islam di Sabah (terutama orang muda) yang masih ramai tidak terdedah kepada keterujaan menunaikan ibadah haji. Saya tiada statistik rasmi, tapi melihat kehadiran semalam, majoritinya adalah orang-orang tua dan ada yang sangat uzur.

Jamaah haji Sabah khabarnya akan berangkat pada 2 dan 8 oktober. Semoga semuanya selamat pergi dan balik, menunaikan haji dengan amalan yang bersungguh-sungguh dan paling penting mendapat haji yang mabrur.