Kuliah kali ini disampaikan oleh Ustaz Muhd Redza Ahmad dari Negeri Sembilan yang bertugas di Masjid Sultan Mizan Putrajaya (Masjid Besi) dan Ustaz Dr  Abdullah Yusof dari Kelantan yang bertugas di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (Jabatan Sejarah Islam & Ketamadunan). Saya tersengih sendiri pada awal kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Muhd Redza, kerana seperti pernah melihat dan bertemu dengannya. Ketika rehat untuk solat isyak, saya ada bertanya : “Kita pernah jumpa di mana ya?”

“Anta ni, kat Mesirlah. Anta Shoubra kan?”

Justeru muka saya masih diingatinya, hanya nama diperkenalkan semula. Sejurus disebutkan, dia mengakui mengingat balik nama saya ini. Rupanya beliau adalah senior di Maahad Qiraat al-Azhar Shoubra Kaherah. Waktu rehat, kami bersembang juga tentang kenangan di Shoubra yang melibatkan nama sahabat-sahabat seangkatan ketika itu. Antara nama Sabahan yang disebut-sebut ialah Juhidin, Ustaz Arif, Hanzalah, Haji Yakob, Zamrul dan Rahim Yahya. Dalam kuliah Darussyifa’ Sabah, lepasan Azhar memang ramai tapi dari Shoubra hanya dua orang, Ustaz Razali Saibin dan saya sendiri.

Dalam sesi kuliah bersama Ustaz Redza, antara bab yang dihuraikan ialah berkenaan marah @ panas baran, pelembut hati, sukar tidur malam, was-was, lemah semangat, fobia, sakit jiwa dan sakit rindu. Sebenarnya kebanyakan keterangan berkenaan penyakit atau gangguan seumpama ini boleh dibaca sendiri, namun yang lebih ditekankan ialah kaedah rawatan yang dijalankan serta pengalaman yang pernah mereka lalui dalam berkhidmat kepada masyarakat.

Ustaz Dr Abdullah Yusof pula mengambil bahagian akhir daripada buku jilid keempat ini sehingga tamat. Beliau menerangkan tentang masalah rumahtangga, trauma, latah, amukan, badi, kenan dan kecacatan bayi, gangguan di rumah atau pejabat,dan yang terakhir ialah bab histeria dan rasukan. Ilmu-ilmu ini sangat penting untuk dihadamkan terutama memahami hakikat penyakit atau gangguan berkenaan, ayat-ayat ruqyah yang digunakan serta perlu dihafaz dan kaedah merawat terhadap semua jenis masalah yang disebutkan.