Saya meluangkan masa sekitar 2 jam sebelah petang sabtu bersama sebahagian kecil siswa siswi baru UMS dengan mengisi satu slot ceramah agama bertajuk ‘Iman Islam dan Ihsan’ di Masjid UMS yang indah itu. Khabarnya ia anjuran Hal Ehwal Masjid dan dikendalikan oleh siswa siswi lebih senior.

Sebenarnya bagi yang menyedari dan sering mengikuti siri-siri ceramah saya baik di masjid, surau atau jabatan-jabatan, atau sebahagian tulisan saya lewat blog ini, saya seringkali mempromosi kefahaman yang betul berkenaan tasawwur Islam. Maka tajuk seperti di atas sebagaimana yang dipinta penganjur adalah antara tajuk yang saya gemari kerana ia memaparkan tentang gambar atau lukisan menyeluruh keindahan Islam.

Kefahaman yang benar dan sahih berkenaan ajaran Islam ini sangat perlu diperkukuhkan dalam diri setiap muslim. Sebab apa yang berlaku, ramai yang mengambil ajaran Islam secara terpilih dan meninggalkan sebahagian yang lain. Ia barangkali berpunca daripada pelbagai sebab. Mungkin kerana mempelajari Islam secara serpihan, atau kefahaman yang sempit atau kerana kedegilan diri sendiri terhadap ajaran Islam.

Maka ia mesti dipromosi semula bermula daripada ajaran Islam yang kecil hingga yang besar, daripada urusan di bilik tidur hinggalah dalam pemerintahan dan urusan antarabangsa; daripada bangun tidur sehinggalah kita tidur semula. Sama ada berkait hubungan dengan Allah SWT, sesama manusia dan terhadap makhluk Allah yang lain seperti haiwan dan tumbuhan. Sama ada ia berkait keyakinan, kepercayaan, ucapan dan tindakan.