Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan

Manusia dituntut untuk menggunakan seluruh masa dan usianya yang telah dikurniakan oleh Allah SWT untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Inilah matlamat utama penciptaan manusia. Firman Allah SWT :

“Dan tidaklah aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk (beribadah) mengabdikan diri kepada-Ku”

Pengabdian diri atau ibadah mempunyai makna yang luas. Ia bukan sekadar bermaksud ibadah ritual yang dilakukan oleh umat Islam seperti solat, puasa, zakat, haji, membaca al-Quran. Tetapi ia merangkumi setiap perkara yang disukai dan diridhai oleh Allah SWT sama ada berupa tindakan dan perlakuan atau ucapan dan perkataan.

Justeru ia merangkumi segala aktiviti kehidupan manusia, sama ada pemikiran, kepercayaan, keyakinan di dalam hati, ucapan dan pandangan yang disampaikan melalui lidah dan perlakuan dan pergerakan yang dilakukan dengan anggota, seperti bekerja, berjalan, bergembira, berseronok, bergurau senda, makan, minum, tidur dan lain-lainya. Inilah bacaan yang selalu diungkapkan dalam solat ketika berdiri rakaat pertama :

“Katakanlah : Sesungguhnya solatku, ibadahku, kehidupanku dan kematianku hanyalah untuk Allah, Tuhan yang mencipta, memiliki dan menguruskan seluruh alam.”

Justeru manusia tidak mungkin dapat hidup walaupun sesat tanpa ada tugas dan tanggungjawab. Dalam setiap masa dan keadaan dia terikat dengan arahan dan larangan daripada Allah yang Maha Berkuasa yang mencipta dan menguruskan kehidupannya di alam maya ini. Justeru itulah Rasulullah SAW menyifatkan segala tindak tanduk seharian manusia sebagai satu usaha menunaikan hak dan tanggungjawab sebagaimana sabda baginda :

“Sesungguhnya untuk badanmu perlu ditunaikan hak. Sesungguhnya untuk keluargamu perlu ditunaikan hak. Sesungguhnya untuk tetamu kamu perlu ditunaikan hak. Justeru berilah hak kepada setiap orang yang berhak.”