Majlis di Jabatan Perhutanan Kota Kinabalu, dekat Taman Haiwan Lok Kawi merupakan majlis 3 dalam 1. Ceramah agama, majlis tahlil arwah dan sambutan hari raya. Majlis bermula hampir jam 9.30 pagi dengan ceramah yang diamanahkan kepada saya untuk menyampaikannya. Ceramah pula ada dua tajuk, pertama berkaitan amalan hidup seorang muslim, mengambil sempena selepas Ramadhan kerana penganjur inginkan mood ibadah Ramadhan itu diteruskan sampai bila-bila dengan praktikal ajaran Islam sepanjang hayat. Tajuk kedua yang agak ringkas berkaitan dengan seruan ibadah qurban memandangkan masanya yang semakin hampir.

Majlis diiringi dengan bacaan tahlil buat adik kandung Pengarah Jabatan yang meninggal dunia beberapa hari sebelumnya. Azid bin Manan namanya. Sebenarnya majlis ini turut dihadiri oleh Pengarah Datuk Sam Manan yang berasal dari Lahad Datu. Khabarnya Allahyarham jatuh di rumah, mengalami strok secara tiba-tiba dan kemudiannya disahkan meninggal dunia. Majlis di Jabatan Perhutanan ini berakhir dengan jamuan hari raya yang dihadiri oleh ramai warga mereka termasuk jiran mereka warga Taman Haiwan @ Zoo Lok Kawi.