Archive for 23 September 2011


MAJLIS DI JABATAN PERHUTANAN

Majlis di Jabatan Perhutanan Kota Kinabalu, dekat Taman Haiwan Lok Kawi merupakan majlis 3 dalam 1. Ceramah agama, majlis tahlil arwah dan sambutan hari raya. Majlis bermula hampir jam 9.30 pagi dengan ceramah yang diamanahkan kepada saya untuk menyampaikannya. Ceramah pula ada dua tajuk, pertama berkaitan amalan hidup seorang muslim, mengambil sempena selepas Ramadhan kerana penganjur inginkan mood ibadah Ramadhan itu diteruskan sampai bila-bila dengan praktikal ajaran Islam sepanjang hayat. Tajuk kedua yang agak ringkas berkaitan dengan seruan ibadah qurban memandangkan masanya yang semakin hampir.

Majlis diiringi dengan bacaan tahlil buat adik kandung Pengarah Jabatan yang meninggal dunia beberapa hari sebelumnya. Azid bin Manan namanya. Sebenarnya majlis ini turut dihadiri oleh Pengarah Datuk Sam Manan yang berasal dari Lahad Datu. Khabarnya Allahyarham jatuh di rumah, mengalami strok secara tiba-tiba dan kemudiannya disahkan meninggal dunia. Majlis di Jabatan Perhutanan ini berakhir dengan jamuan hari raya yang dihadiri oleh ramai warga mereka termasuk jiran mereka warga Taman Haiwan @ Zoo Lok Kawi.

Alhamdulillah, lewat petang semalam kami menerima empat orang tetamu kesemuanya guru agama di Pusat Pendidikan Islam (PPI) an-Nur, Taman Austral yang merupakan teman-teman sejawat isteri saya (Ummu Nuha). Ia kunjungan silaturrahim sempena hari raya sekaligus ziarah mereka kepada Ummu Nuha yang masih dalam tempoh cuti bersalin.

Ketibaan mereka diketuai oleh Ustaz Almutra, Ustazah Dayang Fatmawati, Ustazah Sarimah dan Ustazah Marina. Sebenarnya ada lagi yang tidak turut serta kerana halangan-halangan tertentu. Ustaz Almutra anak tempatan yang memangku jawatan guru besar yang sebelum itu pernah belajar agama di sebuah pondok di Terengganu kalau tidak salah saya. Ustazah Dayang Fatmawati pula teman serumah Ummu Nuha semasa mereka di Mesir. Setelah kami berkahwin (sejak di Mesir) hingga kini hubungan mereka tetap akrab. Kepada saya dipanggilnya abang dan saya pula memanggilnya Ayang. Saya sangat mengetahui budi baiknya kepada Ummu Nuha dan saya sendiri ketika kami susah payah di Wilayah el-Mansoura.

Ustazah Sarimah saya baru kenali, berasal dari Pulau Banggi dan sudah berumahtangga. Ketika bulan Ramadhan lalu, kami dikhabarkan rumah di kampungnya terlibat dalam kebakaran dan Persatuan Ulama Malaysia ada mengirimkan sejumlah 30 kampit beras untuk diagihkan kepada mangsa di sana. Ustazah Marina pula lebih awal sedikit saya kenali kerana beberapa tahun lepas beliau selalu ikut Ummu Nuha ke rumah. Berasal dari Kota Belud dan digemari oleh murid-muridnya. Hmm, masih belum berpunya tau.

Kebetulan ketika itu tv astro 141 menyiarkan drama Ketika Cinta Bertasbih, babak Husna menolak tawaran pinangan Ustaz Furqan, saya sempat bertanya Marina berkenaan bab pinang meminang kerana memang ada sahabat saya berminat. Senyum sajalah jawabnya. Apa pun kepada mereka kami ucapkan berbanyak terima kasih. Kami semua gumbira dengan kehadiran mereka dan dapat makan malam bersama-sama. Jemput datang lagi.

%d bloggers like this: