Ahad malam isnin lalu kami meluangkan masa berziarah ke Papar rumah sahabat baik saja sejak zaman sekolah. Hajatnya agar kami – kumpulan perubatan islam Masjid Negeri Sabah membantu masalah gangguan makhluk halus yang menghantui keluarganya sejak beberapa tahun kebelakangan.  Sebenarnya hampir seminggu lalu beliau memaklumkan masalah mereka dan hanya ahad malam isnin kami berkelapangan. Puncanya kerana kesibukan aktiviti termasuk majlis graduasi yang perlukan persiapan. Rombongan diketuai oleh Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim.

Tambahan Ustaz Haji Nik Anwar Zakaria hanya berkelapangan pada malam tersebut sahaja. Rombongan kami seramai 9 orang terlebih dahulu solat isyak di Masjid Nurul Iman Taman Pantai Lok Kawi (Sabindo) Kinarut dan kemudian bergerak dengan 2 kenderaan ke Papar. Alhamdulillah kami tiba sebelum jam 9 di lokasi dengan sebahagian jalan di kampung berkenaan terlalu gelap dan sunyi.

Di rumah berkenaan, sekurang-kurangnya tiga ahli keluarga mereka terlibat dan dirawat malam tersebut – 2 perempuan dan seorang lelaki. Menariknya, salah seorang mereka (perempuan) yang dilaporkan sebelum ini agak ‘keras’ dengan gangguan tersebut, malam itu tidak menunjukkan reaksi apa-apa. Seorang lagi (perempuan) menunjukkan reaksi dengan meronta-ronta dan mengeluarkan makian kepada kami. Jin yang ini mengaku muslim dan boleh membaca syahadah sendiri termasuk terjemahannya. Bahkan boleh membaca ayatul kursi dan terjemahannya dengan lancar sekali.

Mangsa ketiga (lelaki) pula dirawat dua kali. Kali pertama menunjukkan sedikit reaksi saja dengan merasa panas di kepala. Kali kedua diruqyah oleh Ustaz Nik Anwar, tanpa diduga oleh kami, mangsa melompat dan bersilat menyebabkan kawan-kawan yang berdekatan bertempiaran sebelum semua seramai 11 orang kembali rapat dan memegang mangsa dengan kemas walaupun rontaannya agak kuat. Selepas sedar, kami dimaklumkan bahawa mangsa tidak pernah belajar ilmu persilatan pun.

Rumah berkenaan kami azankan di setiap penjuru sebagai acara merawat rumah. Kami turut mencadangkan agar rawatan lanjut diteruskan dengan membawa ketiga-tiga pesakit ke Surau SK Pekan Putatan pada khamis malam jumaat. Pasukan kami bersedia membantu di sana pula. Apa yang lebih penting, penjagaan diri dan pengamalan ajaran agama dalam diri masing-masing sebagai pertahanan diri. Harapnya sahabat saya itu sekeluarga bersabar dengan ujian hidup.

p/s kebanyakan foto dirakam tanpa cahaya untuk tidak mengganggu konsentrasi rawatan.