Kami sekeluarga mendapat undangan majlis hari raya yang dianjurkan bersama oleh 15 keluarga yang diadakan di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral Kepayan tengahari ahad lepas. Mengetahui majlis berkenaan, ya ini adalah satu perkongsian pintar. Kenapa tidak, antaranya ialah tetamu yang hadir solat zuhur berjamaah, justeru memudahkan solat fardhu dijaga dan ditunaikan awal waktu. Barangkali juga ada tetamu masing-masing yang pertama kali berziarah ke surau ini, ertinya mereka selepas ini sudah mengetahui lokasi surau dan aktiviti mereka di sini.

Saya meyakini pula bahawa sesetengah tetamu adalah kenalan kepada beberapa keluarga penganjur, jadi kunjungan berhari raya sudah dapat dijimatkan dan boleh selepas itu bergerak ke lokasi-lokasi yang lain pula. Dari segi ekonominya, belanja majlis jamuan hari raya ini dijamin jimat kerana perkongsian kewangan. Sedikit kutipan dibuat dan kemudian acara masak memasak di surau. Selebihnya masing-masing menambah dan membawa dari rumah masing-masing. Ukhuwwah silaturrahim jelas kelihatan apabila kerja-kerja tolong menolong dapat dilakukan sebaiknya.

Tahniah kepada JK surau dan keluarga penganjur yang terlibat. Alhamdulillah…