
Tengahari sabtu saya memenuhi undangan abang Yahya Ganal di Grace Ville Sembulan. Abang Yahya berasal dari WP Labuan dan sudah bermastautin di Kota Kinabalu. Menariknya kami berkenalan di sebuah masjid di Labuan lebih setahun lalu ketika saya menyampaikan satu ceramah di Masjid Kg Bukit Kalam. Perhubungan itu berterusan dengan beliau sekali dua mengundang saya dan keluarga ke rumahnya di Grace Ville.
Pertama kali pada raya adha tahun lalu beliau berkenduri di rumahnya. Sabtu lalu saya hadir sendirian di Grace Ville tetapi di rumah yang baru pula. Jadi ia kenduri kesyukuran masuk rumah baru sekaligus doa selamat sempena keberangkatan beliau ke tanah suci untuk menunaikan fardhu haji tahun ini. Alhamdulillah dan tahniah buat beliau atas kedua-duanya. Mudah-mudahan rumah baru menjadi tempat yang baik untuk keluarganya, dan semoga kembali ke tanahair nanti dengan memperolehi haji mabrur.
Setibanya saya di rumah berkenaan, rupanya ramai saudara mara beliau khususnya dari Labuan sudah sedia berkumpul. Ia bertambah meriah apabila saya datang, rupanya beberapa orang di kalangan mereka yang berkeluarga dengan abang Yahya adalah mereka yang saya kenali terutamanya kenalan sekampung di Labuan dan ada yang sudah lama tidak saya temui sejak zaman kanak-kanak lagi. Puan Dayangku Rahimah yang merupakan kakak ipar kepada abang Yahya adalah teman baik mama kami. Anak lelakinya Dr Mohd Zaki adalah teman baik adik saya dan kini bertugas di Hospital Queen Elizabeth.
Biar pertemuan itu hanya sebentar, ia sangat bererti sekali.
p/s : tiada foto abang Yahya di entri ini.

Dari Grace Ville, saya ke Kg Petagas untuk majlis hari raya sekeluarga di rumah pakcik – Tuan Haji Zakaria Mahali yang merupakan abang kandung kepada bapa saya. Majlis ini sebenarnya sudah hampir ke penghujung tetapi tetamu masih ramai. Ramainya yang hadir kerana setiap anak-anak @ sepupu yang semuanya sudah berkeluarga ini masing-masing mengundang jemputan masing-masing.
Sebenarnya saya sudah keletihan kerana hanya tidur hampir subuh – menyiapkan video klip majlis graduasi untuk tayangan sebelah pagi. Meratah daging kambing dan kemudian saya terlena di ruang tamu rumah sebelum dikejutkan oleh ketibaan tetamu lain. Kelam kabut juga saya bangun, rupanya yang hadir ialah Ustaz Haji Bungsu Aziz Jaafar yang datang bersama keluarga. Saya turut melayan kehadiran Ustaz Bungsu sehingga mereka pulang, dan saya pun pulang ke rumah. Alhamdulillah atas nikmat dan rezeki Allah SWT.

