Archive for 18 September 2011


Kelas pembelajarannya selama 40 jam, bermula sejak pertengahan februari lalu dan berakhir sebelum Ramadhan tempohari. Dalam tempoh berkenaan, semua pelajar bukan hanya terlibat dalam sesi kuliah, tetapi juga sesi tasmik hafazan ruqyah dan sesi praktikal, dengan sesi ini diundang orang awam yang benar-benar sakit dan memerlukan rawatan.

Jumlah pelajar juga agak mencabar pihak penganjur dan pembimbing. Pada awal sesi pendaftaran sangat mengejutkan dengan jumlah hampir 150 orang memenuhi ruang bilik kuliah 2 Masjid Negeri Sabah. Tetapi setelah diperhati urus setia, jumlah yang komited dengan kuliah minggu demi minggu, sekitar hampir 100 orang. Sehingga ke akhir kursus, dan disahkan lulus dalam sesi tasmik dan praktikal merawat, jumlahnya tercatat seramai 56 orang sahaja.

Ustaz Amir Hussin mengacarakan majlis graduasi pada pagi sabtu di dewan solat Masjid Negeri Sabah, sementara Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim selaku pengerusi Syukbah Dakwah memberikan ucapan alu-aluan dan penghargaan kepada semua yang terlibat. Tuan Haji Makhtar pula diminta memberikan ucapan mewakili seluruh pelajar Ustaz Nik Anwar juga memberikan ucapan selaku guru pembimbing yang bertanggungjawab sekaligus sesi talaqqi dan pengijazahan bacaan ruqyah kepada semua. Tayangan multimedia dipertontonkan sebagai imbasan aktiviti kursus yang berlangsung. Sesi penyampaian sijil disampaikan sendiri oleh Ustaz Nik Anwar Zakaria.

Sekalung penghargaan buat Ustaz Haji Nik Anwar Zakaria el-Besuti yang membimbing kami tanpa jemu. Mencurahkan ilmu dan pengalaman berharga dalam rangka meluaskan medan dakwah kepada masyarakat yang dahagakan bimbingan. Semua maklum, di Sabah ini masih banyak cabaran dan gangguan berkenaan makhluk halus dan pengamalan ilmu sihir serta segala yang berkaitan dengannya. Pawang, bomoh, tangkal azimat, ‘menurun’ dan bermacam-macam perkara yang lain yang boleh menjejaskan aqidah orang Islam sendiri.

Tidak ketinggalan juga masalah yang dihadapi apabila ramai orang mendakwa dirinya adalah pengamal perubatan Islam. Justeru sesi kursus 40 jam ini sangat bermanfaat untuk semua agar boleh berkhidmat kepada masyarakat yang memerlukan. Insya Allah setelah pengemaskinian modul dan meninjau beberapa kelemahan yang timbul, kami akan mengadakan pengambilan kedua, seawalnya januari atau februari tahun hadapan.

Suka saya catatkan antara mereka yang lulus ialah Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim sendiri, Tuan Haji Khairan Untoh, Tuan Haji Amrullah Kamal, Dr Haji Mingu Jumaan, Ybhg Datuk Haji Mokhtar Rapok, Tuan Haji Mohd Pozi Awang, Tuan Imam Saidin Arpha, Tuan Imam Amiruddin Mohd Amir, Cikgu Haji Zaieddi Shahadan, Chef Abdullah Ahmad, Ustaz Fuad Othman, Ustazah Hajjah Norhayati Muluk, Datin Zainab dan ramai lagi yang berjumlah 56 orang kesemuanya.

Lebih 1500 perwakilan ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat – Parti Islam SeMalaysia (PAS), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkumpul di Star City, Kota Kinabalu petang jumaat dalam satu Konvensyen Pakatan Rakyat Sabah yang julung kali diadakan. Tarikh 16 September yang merupakan hari cuti am sempena Hari Malaysia dipilih untuk mengumpulkan pemimpin dan ahli ketiga-tiga parti dengan membawa tema ‘UBAH DEMI RAKYAT’.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan nyanyian lagu ‘Negaraku’ dan ‘Sabah Tanahairku’ sebelum ucapan pengarah program Datuk James Ghani. Ketiga-tiga wakil parti di peringkat negeri telah membahaskan beberapa perkara berkaitan kepentingan rakyat negeri Sabah seperti agama Islam, isu-isu pembangunan, pendidikan, perumahan, tanah, ekonomi, kebajikan, kesihatan dan sebagainya.

Wakil kepimpinan Pakatan Rakyat di peringkat pusat telah memberikan ucapan pada sesi terakhir iaitu Tuan Haji Mohamad Sabu (Timbalan Presiden PAS), YB Lim Kit Siang (Penasihat DAP) dan Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail (Presiden PKR). Ketiga-tiga mereka bersama kepimpinan negeri bersama-sama melancarkan 20 reformasi pentadbiran Pakatan Rakyat Sabah dan kemudiannya menandatangani  plak sebagai menandakan pelancaran 20 tawaran berkenaan.

%d bloggers like this: