Archive for 17 September 2011


CERITA KAK WAN

 

Bahagia rasanya bertemu rakan-rakan lama, dalam majlis santai Resepsi ‘Idul Fitri Alumni Sekolah Menengah Ugama Islam Toh Puan Hajjah Rahmah Kota Kinabalu di Pantai Tanjung Aru 1 petang semalam. Bagi saya, bukan makan-makannya yang penting kerana itu menjadi nombor dua, tiga atau empat. Namun begitu entah apa sebabnya ramai di kalangan alumni yang tidak hadir walaupun di FB Grup Ex TPHR itu nampaknya ramai bersemangat. Tarikh 16 September yang dipilih kerana cuti umum berturutan jumaat hingga ahad nampaknya tidak menarik ramai yang jauh dan dekat untuk hadir meski ia sudah diwarwarkan kalau tidak salah sejak bulan mei lagi.

Kehadiran hanyalah sekitar 50 orang saja, itu pun bersilih ganti. Sementara saya tidak hadir daripada awal kerana urusan lain dan hanya tiba jam 3 petang. Justeru barangkali ada yang datang dan pulang lebih awal daripada saya (maka tiada rakaman fotonya) atau datang selepas saya pulang sekitar jam 4.15 petang. Pun begitu, meski ringkas dan santai ia tetap bermakna. Saya menemui senior-senior yang tidak pernah saya kenali dan ada juga yang sudah rasanya bertahun tidak bertemu. Menariknya saya mengenali seseorang di luar tetapi saya tidak mengetahui dia adalah alumni dan senior di sekolah yang sama.

Maklum saja apabila bertemu alumni sekolah, kisah-kisah lama akan terungkai kembali. Zaman-zaman nakal, kenangan bersama di asrama, kisah-kisah lucu menjadi bualan mengikat silaturrahim. Pertemuan hanya sekitar 2-3 jam, sudah tentu tidak cukup untuk membincangkan topik yang lebih serius. Sebab itu rancangan awalnya adalah untuk bertemu dan menginap di satu lokasi, sehari semalam agar banyak perkara yang dapat dibincangkan terutama peranan alumni sekolah terhadap perkembangan dakwah di Sabah. Apakan daya, JK hanya merancang, Allah yang menentukan, hanya program kecil-kecilan sebegini dapat diadakan.

Saya ada mencadangkan kepada JK alumni agar mengubah strategi reunion ini. Oleh kerana cadangan asal menemukan semua alumni daripada awal sehingga akhir (2010) nampak begitu besar dan tidak mencapai matlamat, maka saya melihat jika masih mahu mengadakan projek ini ialah melalui kunjungan JK alumni ke daerah-daerah tertentu dan berkumpul di sana. Contohnya, majlis reunion di Tawau untuk mereka yang bermastautin di Tawau dan daerah-daerah berdekatan seperti Kunak, Semporna dan Lahad Datu. Begitulah juga di kawasan lain.

Satu cadangan yang lain ialah diadakan mengikut kumpulan kelas tingkatan berkenaan, dan untuk mengadakannya ia diserahkan kepada kebijaksanaan ahli-ahli batch tahun berkenaan kerana biasanya kumpulan berkenaan lebih akrab dengan rakan-rakan sebaya dan seusia mereka. Untuk kaedah ini, kumpulan tingkatan kami pernah mengadakannya beberapa tahun lalu. Saya rasa Ustaz Ak Yuzie di Membakut patut memikirkan semula program ini. Ini memandangkan ketika itu baru hanya beberapa orang yang berkahwin, tetapi kali ini rasanya majoriti sudah berumahtangga dan bercahayamata.

Untuk program semalam, walaupun ringkas, saya merakamkan tahniah kepada Ustaz Zulhaimi Asbi @ Jool, Ustaz Sufian Amran @ Pyan, Ustaz Saiful Khair Sampon @ Chip dan seluruh tenaga yang bertungkus lumus menjayakannya. Penghargaan juga buat mereka yang datang dari jauh untuk bersilaturrahim dan berukhuwah. Semoga bertemu lagi.

%d bloggers like this: