Sekalung tahniah di atas kesungguhan khususnya guru-guru panatia agama Islam di SK Kinarut yang mengadakan sesi-sesi ceramah buat pelajar-pelajar darjah 4 dan 5 walaupun hari ini adalah cuti umum sempena Hari Malaysia. Ini pengalaman pertama masuk dan berceramah di sekolah ini walaupun berkali-kali melintas jalan di luar kawasan sekolah.

Saya tiba 8.30 pagi dan berselisih dengan Ustaz Haji Jamiatul Ikhwan yang baru selesai dengan ceramahnya membawa topik berkenaan ibu bapa. Di hadapan sekitar 40 anak-anak ini, saya diminta membawa tajuk ‘rahsia solat’. Antaranya berkaitan dengan tuntutan dan keutamaan ibadah solat ini. Tidak ketinggalan saya catatkan beberapa kajian saintifik berkaitan solat.

Saya kira tajuk yang sangat sesuai, apatah lagi anak-anak ini berumur 10 dan 11 tahun, bakal melalui proses umur baligh pada masa yang hampir. Justeru menekankan kewajiban solat, menerangkan kelebihan dan keutamaannya, juga diselitkan tentang ancaman dosa yang dipikul sendiri, bukan ditanggung oleh ibu bapa mereka. Tahniah sekali lagi atas program ini dan terima kasih atas undangan yang diberikan.