Archive for 16 September 2011


Khatib : Ustaz Daroni

Lokasi : Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas

Perbuatan memaafkan kesalahan orang lain amat dituntut oleh agama Islam sehingga ia dijanjikan dengan ganjaran yang begitu besar sekali. Ini jelas dalam Surah Ali-Imran, ayat 134. Begitu juga, orang yang memohon maaf di atas kesalahan yang telah dilakukan, mereka ini juga dijanjikan syurga oleh Allah di akhirat kelak (Surah Ali-Imran, ayat 135-136).

Namun, dalam semangat Hari Raya Aidilfitri ini, bila mana kita meraikan kemenangan melawan hawa nafsu selama sebulan, mengapa tidak kita buka hati kita untuk memaafkan segala silap dan salah orang? Tentunya kita juga ada salah dan silap yang jika mahu disenaraikan akan mengambil masa yang lama. Maka, mengapa tidak kita maafkan sahaja dosa orang yang memohon maaf daripada kita? Ingatlah perintah Allah dalam Surah al-A’raf, ayat 199 yang menuntut kita agar memilih untuk memaafkan.

Sebenarnya, memohon maaf dan memberi maaf bukanlah sukar untuk dilaksanakan dalam bulan Syawal ini setelah kita melengkapkan ibadat puasa selama sebulan. Sesungguhnya ibadah puasa telah mendidik kita untuk melawan hawa nafsu dan mengembalikan diri kita kepada fitrahnya yang suci bersih. Jiwa yang suci bersih adalah jiwa yang bebas daripada sifat bangga diri, sebaliknya kaya dengan sifat pemurah dan berlapang hati. Ini memudahkan kita untuk mengakui kesilapan diri, memohon maaf dan memaafkan orang lain. Maka, manfaatkanlah Aidilfitri ini ke arah itu dan sucikanlah dosa sesama insan dengan penuh tulus ikhlas.

Bila kita telah saling bermaafan, tiada lagi rasa benci dan dendam. Apa yang lahir ialah rasa kasih sayang dan persefahaman yang sekiranya dijana dengan baik, dapat menghasilkan satu permuafakatan yang bakal menguntungkan ummah. Menurut Nabi SAW, semua ucapan yang baik adalah merupakan sedekah, termasuklah ungkapan selamat hari raya, maaf zahir dan batin, yang kemudiannya kita sertai dengan ungkapan taqabbalallahu minna wa minkum yang bermakna semoga Allah menerima amalan kita semua.

Sekalung tahniah di atas kesungguhan khususnya guru-guru panatia agama Islam di SK Kinarut yang mengadakan sesi-sesi ceramah buat pelajar-pelajar darjah 4 dan 5 walaupun hari ini adalah cuti umum sempena Hari Malaysia. Ini pengalaman pertama masuk dan berceramah di sekolah ini walaupun berkali-kali melintas jalan di luar kawasan sekolah.

Saya tiba 8.30 pagi dan berselisih dengan Ustaz Haji Jamiatul Ikhwan yang baru selesai dengan ceramahnya membawa topik berkenaan ibu bapa. Di hadapan sekitar 40 anak-anak ini, saya diminta membawa tajuk ‘rahsia solat’. Antaranya berkaitan dengan tuntutan dan keutamaan ibadah solat ini. Tidak ketinggalan saya catatkan beberapa kajian saintifik berkaitan solat.

Saya kira tajuk yang sangat sesuai, apatah lagi anak-anak ini berumur 10 dan 11 tahun, bakal melalui proses umur baligh pada masa yang hampir. Justeru menekankan kewajiban solat, menerangkan kelebihan dan keutamaannya, juga diselitkan tentang ancaman dosa yang dipikul sendiri, bukan ditanggung oleh ibu bapa mereka. Tahniah sekali lagi atas program ini dan terima kasih atas undangan yang diberikan.

%d bloggers like this: