Kisahnya ringkas tapi ada makna.

Sepanjang hampir 10 hari, bermula di penghujung Ramadhan sehingga akhir minggu pertama Syawal, sahabat saya Sdr Misbah telah meninggalkan kereta mahalnya ‘Prado’ (foto atas) di perkarangan rumah saya sekaligus izin menggunakannya kerana beliau sekeluarga berhari raya di Johor. Saya tidak meminta kemudahan kenderaan, tetapi beruntung juga kerana sebuah kereta kami masih berada di bengkel – selepas kemalangan tempohari – apatah lagi hari raya perlu banyak berjalan berziarah dan memenuhi undangan.

Saya tidak biasa memandu kenderaan orang lain, apatah lagi kereta mewah atau pacuan empat roda dan sebagainya. Tambahan lagi baru lepas kemalangan, sedikit sebanyak ada juga perasaan trauma. Saya jadi bimbang terlanggar lagi apabila berada di persimpangan jalan, bimbang kenderaan lain membuat pusingan U. Apatah lagi kalau ketika itu saya sedang membawa kenderaan orang. Jadi kereta mahal milik sahabat ini saya hanya guna kalau bersama keluarga, manakala kalau saya sendirian lebih selesa menggunakan kereta kelisa.

Saya catatkan satu kenangan ketika berziarah bersama keluarga ke rumah sahabat yang mengadakan rumah terbuka hari raya. Ia satu kawasan perumahan yang mempunyai kawalan keselamatan yang agak baik dan selalu juga berkunjung ke sini sebelum ini. Saya pernah merasai kadang-kadang pak sekuriti melayan ala kadar seperti endah tak endah apabila saya memandu kelisa atau proton.

Tetapi tempohari, memandu Prado kepunyaan Misbah, saya lalu di pintu pagar taman disambut berdiri dengan tabik hormat oleh pak sekuriti. Adakah bagi mereka kemuliaan ini hanya milik orang yang berharta, punya rumah besar dan kenderaan mewah? Saya kira mereka bukan tabik dengan saya tapi dengan prado. Saya tidak marah dengan mereka, tetapi meluat dengan perangai begitu. Hormatilah semua orang tanpa melihat kedudukan dan harta mereka.

Memetik tema Dr Kamil Ibrahim : Ia cerita ringkas tapi signifikan.