Ketika kuliah Darussyifa’ siri 6 berlangsung di Masjid Negeri Sabah, saya keluar mencelah sekejap waktu rehat tengahari, solat zuhur di Masjid Nurul Hidayah Kg Bangka-Bangka Likas dan kemudian menyinggah berhari raya di sebuah rumah, memenuhi jemputan sahabat yang bermula jam 12.30 hingga lewat petang.

Barangkali saya antara orang yang awal hadir di kalangan kawan-kawan, kerana saya perlu menjaga masa dan kembali ke kuliah yang bersambung sebelah petang. Separuh makan-makan saya, baru muncul tetamu-tetamu yang lain, dan di kalangan ramai-ramai itu saya ternampak YB Dato’ Dr Hamdan Khalib, ADUN Tanjung Dawai Kedah. Seingat saya pernah bertemu dengannya beberapa tahun lalu di Kedah, kalau tidak salah ketika itu beliau belum dipilih sebagai ADUN.

Saya mengenali dari jauh beliau sebagai doktor perubatan dan masih mengekalkan aktiviti pemeriksaan kesihatan am secara percuma yang dinamakan ‘klinik wakaf sejahtera’, merangkumi beberapa kawasan dalam DUN Tanjung Dawai, tempat beliau berkhidmat kini. Beliau juga merupakan aktivis penting Yayasan Amal Malaysia dan sering berkelana ke banyak lokasi di seluruh dunia dalam kerja-kerja kebajikan seperti di Timur Tengah, Asia Tengah dan Asia Tenggara.

Dalam kerja-kerja siasah dan pentadbiran kerajaan Negeri Kedah, beliau juga adalah Exco Belia, Sukan, Kesenian, Warisan dan Kebudayaan. Rupanya kehadiran beliau ke Sabah adalah menemani rombongan bola sepak Kedah yang menentang Sabah di Stadium Likas pada malam minggu lalu.  Beliau juga adalah Setiausaha Kehormat Kedah FA. Tapi malam itu, khabarnya pasukan bola Kedah tewas kepada Sabah. Hehehe… 🙂