Buku Yang Baru Dibaca :

Penulis : Rashid Maidin

Penerbit : Strategic Information Research Development (SIRD)

Harga : RM18.00

Petikan :

“Usaha gigih kami dari PKM, PKMM dan pelbagai pertubuhan seperti kesatuan-kesatuan buruh dan persatuan-persatuan anak negeri, serta juga oleh tokoh progresif berbilang kaum menyebarkan cita-cita ‘Merdeka’, telah disambut hangat oleh semua lapisan rakyat seluruh tanah air. Pekikan ‘Merdeka!’ kedengaran berkumandang di sana sini.

Seruan Merdeka di kalangan orang Melayu yang paling lantang ketika itu ialah dari PKMM dan gabungannya seperti Angkatan Pemuda Insaf (API), kemudian Pembela Tanah Air (PETA), (pengganti API yang diharamkan oleh penjajah British) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Barisan Tani Malaya (BTM), Hizbul Muslimin kesemuanya berkongsi aspirasi dalam menjunjung perjuangan kemerdekaan tanah air.

Untuk mengalihkan perhatian orang ramai dan mengabui mata rakyat, British telah menelurkan satu rancangan apa yang disebutnya sebagai Malayan Union, Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Bukan Bersekutu, yang mana sebelumnya sultan dan raja-raja diiktiraf sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu, serta juga sedikit sebanyak penghormatan sebagai ketua negeri dalam pentadbiran British sebelum perang.

Kini, semuanya dimansuhkan di bawah skim Malayan Union. Dengan hinanya raja-raja dan sultan-sultan pula dipaksa menandatangani perjanjian tersebut. Orang Melayu terasa terancam oleh rancangan Malayan Union penjajah British itu, dan mereka bangun menentangnya. UMNO ditubuhkan oleh Dato’ Onn dalam tahun 1946 dalam suasana ini. Itulah sebabnya UMNO ketika itu hanya melaungkan semboyan ‘Hidup Melayu’ manakala kami dari PKM dan PKMM menyeru ‘merdeka’ dan dicap pula sebagai golongan kiri dan ekstrimis. Kaum bukan Melayu, terutamanya bangsa Tionghua menentang skim Malayan Union ini kerana di dalam skim itu Pulau Singapura dipisahkan dari Malaya.”