Sementara saya membaca beberapa huraian dan keterangan berkenaan ayat 10 daripada surah an-Nisa’, saya terkenang dengan kejadian yang menimpa sebuah keluarga yang kehilangan ketua keluarganya tidak berapa lama dahulu. Ayat yang saya baca huraiannya ini sangat berkaitan sekali. Firman Allah SWT bermaksud :

“Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.”

Saya tidak mahu bercerita panjang. Tetapi kisah ini banyak berlaku dalam masyarakat dan menjadikan keluarga yang besar menjadi porak peranda apabila agama tidak menjadi keutamaan, tetapi perebutan harta menjadi keutamaan. Seorang ketua keluarga, pada zaman dahulu (seperti datuk moyang kita) kebiasaannya telah membuka kawasan tanah yang luas. Menebas hutan, menebang pokok untuk dijadikan rumah, perkebunan atau dusun buah-buahan, demikianlah biasanya.

Kalau kita selami tujuan orang tua melakukan demikian secara bersusah payah, ia bertujuan untuk memberi kesenangan kepada anak cucunya pada masa hadapan apatah lagi sesudah ketiadaannya. Barangkali ada yang membuat perkiraan, suatu masa harga dan nilai tanah semakin meningkat, manusia semakin ramai, jadi perlu tanah diusahakan untuk kebaikan generasi keturunannya suatu ketika nanti. Ia harta yang berkembang, mungkin didirikan rumah sewa atau deretan kedai dan sebagainya.

Takdirnya, si orang tua yang mengusahakan tanah ini meninggal dunia dan meninggalkan harta berupa tanah dan lain-lain. Anak-anak ada yang masih kecil dan ramai yang sudah dewasa, masing-masing berkeluarga sendiri. Akhirnya harta (contohnya tanah, duit dan sebagainya) menjadi rebutan, hubungan kekeluargaan menjadi retak menanti belah. Maka ramai terlupa atau buat-buat lupa dalam perebutan harta itu, ada hak anak-anak yatim.

Mudah-mudahan Allah SWT menjadikan saya dan keluarga menjadi manusia yang tidak berebutkan harta pusaka lalu menyebabkan nanti kami bergaduh. Mohon dijauhkan Allah SWT. Kalau ada sedikit harta pusaka, biarlah ia terbahagi dengan semangat kekeluargaaan, kasih sayang dan prinsip tolong menolong dalam perkara kebaikan.

Kepada ruh Allahyarham yang saya maksudkan dalam cerita ini, mudah-mudahan beliau dicucuri rahmat oleh-Nya. Mudah-mudahan mereka yang cuba berlaku zalim itu akan diberi petunjuk atau keputusan oleh-Nya.