
Ini minggu pertama kuliah bersambung setelah berehat sebulan sempena Ramadhan. Alhamdulillah, kuliah berjalan lancar seperti biasa bermula selepas solat fardhu maghrib sabtu lalu dan bersambung pagi ahad sehingga petangnya. Hanya kelihatan beberapa ahli yang tidak muncul, khabarnya masih bercuti sempena hari raya dan berada di luar Sabah.
Kuliah kali ini untuk sesi pertama dibimbing oleh Ustaz Shaharuddin Saad, yang pernah datang ketika kuliah kedua tempohari. Terdahulu, beliau memaklumkan pemergian Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din yang berlepas ke Amerika Syarikat pada sebelah pagi. Katanya keberangkatan Tuan Guru tidak ramai yang mengetahuinya kecuali pada saat-saat akhir. Amat meruntun perasaan saya sendiri apabila melihat foto-foto lewat facebook rasmi Darussyifa’.
Untuk kuliah kali ini bersambung pada buku keempat bertajuk ‘Rawatan Penyakit Rohani’, bermula dengan huraian ringkas ruqyah asas ketiga. Walaubagaimanapun, talaqqi ruqyah asas ketiga dan kedua insya Allah akan dibimbing sendiri oleh Tuan Guru Haron Din pada kesempatan akan datang, sesudah beliau kembali daripada rawatan di Amerika Syarikat dan sihat seperti sediakala.
Antara yang dihuraikan ialah al-mu’awwizat atau tiga qul – yang antara lain menerangkan tentang perlindungan Allah SWT dan ia menjadi amalan baginda SAW sebelum tidurnya. Ayat pembatal sihir iaitu ayat 81-82 daripada surah Yunus yang menceritakan situasi Nabi Musa AS berhadapan dengan tukang-tukang sihir Firaun. Selain itu, ayat pendiding daripada syaitan iaitu ayat 97-98, surah al-Mu’minun yang merupakan perintah Allah SWT kepada Rasulullah SAW agar berdoa bagi memperolehi keselamatan daripada ditimpa azab.
Demikianlah dihuraikan satu persatu sehingga habis 10 ruqyah asas ketiga ini, yang bagi saya sangat penting dikuasai kefahaman berkenaan ayat-ayat al-Quran atau hadith yang bakal dihafaz.
Seterusnya Ustaz Shaharudin menghuraikan tentang pengenalan penyakit rohani terdiri daripada bentuk-bentuk gangguan emosi atau tekanan perasaan, termasuk sikap marah. Antara punca tekanan perasaan ialah faktor kekeluargaan, faktor pendidikan, faktor gaya hidup dan tekanan dalam kehidupan seperti tekanan kerja, bebanan hutang, karenah anak-anak, ditimpa musibah, perselisihan dengan isteri atau rakan-rakan sekerja, percintaan dan sebagainya.
Selain itu, dihuraikan juga tentang bentuk-bentuk gangguan makhluk halus seperti bisikan suara-suara ganjil, makhluk halus yang mengekori manusia, mimpi yang menakutkan, histeria dan rasukan syaitan/iblis. Walau apa pun jua bentuk gangguan yang dikenakan oleh makhluk halus ini terhadap manusia, sebenarnya ada benteng yang boleh mengelakkan seseorang daripada terkena gangguan itu seperti tiga qul, ayatul kursi dan lain-lain.
Pembimbing kedua ialah Tuan Mohd Pakarul Razi Mohammad yang merupakan seorang kaunselor bertauliah. Sesi bersama beliau agak berlainan dan banyak ilmu baru yang kami perolehi terutama berkaitan ilmu kaunseling, bagaimana hendak memberi kaunseling dengan teknik yang betul. Barangkali yang membuatkan ramai teruja ialah teknik SEFT sebagai satu terapi diri. Antaranya ialah dengan menekan dan mengetuk tempat-tempat tertentu di anggota badan sambil menyebutkan permasalahan peribadi, meridhai dan mengikhlaskan diri terhadap ujian atau masalah tersebut.




