Archive for 11 September 2011


Foto : Blog Haji Arshad bertarikh 10 September 2011.

Kisah-kisah dari Tanah Suci Makkah dan Madinah sentiasa menggamit hati dan perasaan untuk diri yang kerdil ini bermohon kepada-Nya agar diberikan lagi rezeki dan kesempatan berziarah dan beribadah ke sana. Sepanjang Ramadhan lalu, ramai sahabat dan kenalan menunaikan ibadah umrah dan ziarah bahkan ramai juga yang berhari raya ke sana.

Gembira membaca catatan facebook sahabat lama ketika di Maahad Tahfiz dahulu, Ustaz Nazri Mustakim @ Syem yang tiba di Madinah 2 hari sebelum Syawal tiba dan berada di Tanah Suci selama 12 hari. Beliau menyertai rombongan bersama keluarganya yang rata-rata saya kenali kerana mereka dahulunya menetap di Kota Kinabalu Sabah.

Dalam tempoh Ramadhan, saya turut menerima beberapa pesanan ringkas @ sms dari Makkah. Tuan Haji Mansur Mohammad dari Kelantan yang pernah menetap di Sabah juga berada di Makkah sepanjang Ramadhan dan sebahagian Syawal, yang saya difahamkan amalan ini dilakukan hampir setiap tahun. Puan Hajjah Masneh Abdullah, rakan jamaah dan kuliah di Masjid Negeri Sabah juga akitivis muallaf di Teratak Fitrah juga berada di Tanah Suci. Sempat juga saya menitipkan pesan agar mendoakan saya dan keluarga.

Saya turut menerima khabar sama daripada Ustazah Nurdahlia Abdullah pegawai JAKIM Sabah yang berhari raya di Makkah. Doa saya agar beliau ditemukan jodoh dengan lelaki yang soleh, insya Allah. Siswa Sabah di Mesir antaranya Ustaz Suhaidi Saad juga khabarnya berhari raya di Makkah. Beliau ada memaklumkan keberangkatannya dari Kaherah ke Tanah Suci sebelum pemergiannya tempoh hari.

Sahabat-sahabat dan kenalan di jabatan, jamaah masjid tertentu juga sering bertukar maklumat pergerakan mereka ke tanah suci. Alhamdulillah, Allah SWT memberi kelebihan rezeki kepada mereka, dan memanfaatkan rezeki untuk ke Tanah Suci Makkah dan Madinah. Itu jauh lebih baik dan mulia berbanding kalau melancong ke tempat lain apatah lagi lokasi yang dipenuhi dengan maksiat dan dosa.

Mengubati kerinduan terhadap Tanah Suci Makkah dan Madinah, ada beberapa blog yang sering saya layari (ada yang hampir setiap hari dan ada yang sesekali-sekala). Ia sangat menggamit perasaan membuatkan sesekali air mata mengalir kerana rindu hendak ke sana. Ia suatu perasaan yang sangat susah sekali digambarkan kecuali bagi mereka yang sudah pernah ke sana.

Blog http://manzlie-makkah.blogspot.com/ dengan tagline ‘pengalaman di Kota Makkah’. Catatan profilnya : Tuan Manzlie Makkah, Saudi Arabia. Menetap di Kota Makkah dan berkerja di HOTEL AL-JEWWAR ROYALE ORCHID yang terletak betul-betul sekali di hadapan Masjidil Haram. Kalau tidak salah ingatan, ketika berumrah tahun lepas, saya merancang dengan bantuan Tuan Haji Omar untuk berjumpa tetapi tidak kesampaian.

Blog http://hajiarshad.blogspot.com/ dengan tagline ‘kehidupan Makkah 2’. Pemilik blog ini ialah Tuan Haji Mohd Arshad berasal dari Teluk Intan Perak dan kini di Makkah. Antara catatan profilnya ‘menguruskan Hotel/Katering di Makkah dan Madinah serta urusan Jemaah Umrah dan Haji yang datang persendirian atau kumpulan’. Turut menyediakan khidmat badal haji dan umrah, korban, dam dan akikah serta apa apa urusan di Madinah dan Makkah.

Blog http://muhdkamil.org/blog/ dengan tagline ‘kehidupan ringkas tapi signifikan’ catatan indah Dr Muhd Kamil Ibrahim berasal dari Besut Terengganu. Barangkali hampir dua tahun saya mengikuti blog beliau hampir setiap hari dengan pelbagai catatan peristiwa, terutama kisah-kisah mustajab doa dan pergantungan kepada Allah SWT. Beliau penulis buku ‘travelog haji mengubah sempadan iman’. Dengan doa itulah beliau ditakdirkan oleh Allah SWT berhijrah ke Madinah bersama keluarga sejak 2 hari lepas.

Dua blogger di Makkah dan seorang di Madinah dan dilengkapkan dengan satu web tv siaran langsung dari Masjidil Haram di Makkah (http://www.justin.tv/bidayatv?utm_campaign=live_embed_click&utm_source=blog.hoeda.info#/w/1748062912/18) dan Masjid an-Nabawi di Madinah (http://www.justin.tv/anachedtv2#/w/1758671824/4). Mudah-mudahan ia sentiasa mendorong saya agar sentiasa ingin ke sana. Mari.

Foto dari blog Tuan Manzlie bertarikh 7 September 2011

Foto blog Dr Muhd Kamil bertarikh 11 September 2011 (hari ini)

 

%d bloggers like this: