Sumber foto : Facebook rasmi Darussyifa’.
Saya terlepas maklumat yang diwar-warkan di web rasmi Darussyifa’ bahawa Ybhg Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din pada pagi ini berangkat ke Stanford Hospital Amerika Syarikat untuk menjalani rawatan lanjut berkaitan jantung beliau.
Umum mengetahui bahawa pada akhir Julai lepas beliau telah mengalami serangan sakit jantung dan kemudiannya mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN). Darussyifa Online menjelaskan beliau dimasukkan ke wad kecemasan IJN sebelum dipindahkan ke wad biasa dan kemudiannya keluar IJN pada 4 Ogos 2011. Namun demikian menurut anak beliau iaitu Puan Salwa, Tuan Guru sering mendapat serangan-serangan kecil terutamanya selepas berbuka puasa, juga ketika dan selepas solat tarawih (apabila jantung bekerja lebih kuat daripada biasa).
Menurut Puan Salwa : “Setiap kali selepas berbuka puasa cucu-cucu lelaki akan pimpin Tuan Guru naik ke atas untuk masuk ke bilik. Setiap malam selepas solat tarawih kami makan moreh di bilik Tuan Guru sambil bergilir-gilir memicit kakinya. Tuan Guru suka dikelilingi anak-anak, jadi kami hampar saprah dan buat kenduri dalam biliknya atau lebih tepat lagi buat sepah dalam biliknya. Kami pernah menyarankan supaya Tuan Guru balik semula ke IJN, tetapi beliau masih nak tunggu review laporan rawatan tempoh hari, terutamanya review daripada doktor di US.” (11 Ogos)
Justeru, hasrat Tuan Guru menyertai rombongan umrah Darussyifa’ yang bertolak pada 10 Ogos tempohari terpaksa dibatalkan, juga aktiviti dan program sepanjang Ramadhan juga dibatalkan. Hasrat beliau untuk menunaikan fardhu haji tahun ini juga kemungkinan besar dibatalkan. Maklumat awal yang kami perolehi adalah melalui Ustaz Shaharuddin Saad dalam kuliah Darussyifa’ Sabah malam ini di Masjid Negeri Sabah, sesudah keberangkatan Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din. Beliau turut menyarankan umat Islam khususnya penuntut Darussyifa’ mengadakan solat hajat untuk tuan guru.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.. Segala puji bagi Allah, Tuhan seru sekalian alam, puji-pujian ke atas anugerah nikmat-nikmat-Nya dan Dialah yang menolak segala bala bencana dan kami bermohon dengan anugerah kelebihan-Nya. Ya Allah, wahai Tuhan kami, bagi-Mu segala kepujian sebagaimana yang selayaknya dengan kebesaran zat-Mu dan kemuliaan serta keagungan kekuasaan-Mu. Wahai Allah! Rahmatilah ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW dan juga ke atas ahli keluarga dan para sahabat baginda kesemuanya.
Ya Allah sesungguhnya Engkau mengetahui yang zahir dan yang rahsia daripada kami maka ampunilah kami, dan Engkau mengetahui hajat-hajat kami maka tunaikanlah hajat-hajat kami, ya Karim Ya Allah wahai Yang Paling Mengasihani daripada segala yang mengasihani. Amin.