Malam tadi, rumah kami meriah dengan kehadiran serombongan warga Ma’ahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat Negeri Sabah sejumlah hampir 30 orang diketuai oleh Ustazah Dg Masni Datu Seribu, salah seorang pensyarah mereka. Sebahagian besar mereka adalah siswa siswi baru, yang baru menyertai dunia menghafaz al-Quran, bakal para huffaz al-Quran dipilih oleh Allah SWT.
Menarik juga, para siswanya setiba di rumah mengalunkan solawat indah keatas junjungan besar Rasulullah SAW sebelum duduk santai di rumah. Sebenarnya menurut Ustazah Dayang, ada lagi yang tidak dapat turut serta dalam kunjungan kali ini. Kami sekeluarga sebenarnya berbesar hati dengan kunjungan mereka, meskipun saya kini tiada hubungan secara langsung dengan pentadbiran Maahad tetapi mereka tetap datang berziarah.
Selesai makan-makan (nasi + ikan putih masak kicap + ayam masak kari dll), ustazah minta saya memberikan sedikit pesanan buat anak-anak ini. Kepada mereka saya turunkan semula pesanan Ustaz Firdaus Ismail kepada saya pada tahun 1997 di Kuching Sarawak. “Al-Quran mesti kuat”, nasihat saya, merujuk kepada hafazan al-Quran yang mesti mantap khususnya ketika tempoh pengajian.
Zaman di Maahad dan tinggal pula di asrama, masih bujang, belum ada apa-apa komitmen kerjaya dan jawatan, belum ada anak isteri, tiada ayam itik yang perlu diberi makan, belum sibuk memenuhi undangan ceramah dan kuliah bersama masyarakat dan pelbagai urusan dunia yang sedikit sebanyak akan menjejaskan jadual mengingat al-Quran. Justeru zaman mengaji adalah zaman terbaik untuk memperbanyakkan sesi mengulang al-Quran.
Sesudah habis dunia maahad, saya tegaskan keperluan untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Saya berkongsi kenangan di Mesir khususnya di Shoubra dan Mansoura dengan catatan untuk meransang mereka ke sana juga. Alhamdulillah, setakat ini anak Sabahan di Shoubra untuk siswa dan di Mansoura untuk siswi masih berkesinambungan. Harapan kami sudah tentu generasi berikutnya menjadi ahli yang lebih baik dan berwibawa daripada kami.
Sehabis dunia pengajian, mesti berbakti dan berada di medan bersama masyarakat. Kepada siswa, mesti mampu jadi imam dan mengetuai program keagamaan. Nasihat itu saya utarakan kerana saya dimaklumkan ada lepasan maahad tahfiz yang tidak mahu dikenali dirinya sebagai ustaz lepasan tahfiz. Ia sudah tentu mengecewakan. Sebelum pulang, saya memberitahu ustazah tentang kesediaan saya membantu siswa-siswi ma’ahad khususnya mengisi apa-apa program dan kuliah, berkongsi ilmu dan sedikit pengalaman bersama mereka.
Kami membuka pintu dan ruang perbincangan sekiranya mahu berziarah lagi. Sila..