Archive for 6 September 2011


RAYA KALI INI

Terkenang keadaan dan suasana raya rumah di kampung, saya tahu orang tua kami kesunyian. Kami ada enam beradik, lima daripadanya sudah mendirikan rumahtangga, hanya adik lelaki saya seorang yang masih bujangan. Daripada kami berlima itu pula, empat keluarga tahun ini meraikan aidil fitri di kampung mertua masing-masing. Abang sulung di Kota Kinabalu, abang kedua di Semporna, abang ketiga di Beaufort sementara saya di Putatan.

Mujur juga (satu-satunya) kakak bersuamikan orang Labuan, bersama dua anaknya dapat juga mereka menemankan kesunyian orang tua kami itu di rumah khususnya pada hari raya pertama. Bapa kami, 67 tahun, masih sihat dan  cergas sementara mama agak uzur dengan penyakit strok yang dideritainya sejak 9 tahun lalu. Meski begitu beliau gagah juga berjalan perlahan di dalam rumah, boleh memasak dengan cara duduk dan membasuh pinggang mangkuk.

Bersama mereka di rumah adalah kakak angkat mama yang kami panggil Uwa, yang sudah puuhan tahun bersama kami. Nenek Uwa berumur lebih 70 tahun rasa saya, juga semakin uzur, tidak boleh berjalan hanya mengengsot tetapi masih rancak bercerita dengan mama setiap hari. Ya, cerita gaya orang tua tentang diri mereka, saudara mara, anak cucu dan keluarga. Jika bukan hari raya, hidup mereka dilingkungi dengan 10 daripada keseluruhan 20 orang cucu. Sepuluh cucu berada di Labuan, sementara sepuluh lagi di Kota Kinabalu.

Raya pertama, kami sekeluarga berziarah dan bertemu dengan abang sulung dan keluarganya. Raya kedua, rumah kami dikunjungi dengan abang ketiga bersama keluarganya. Sementara raya ketiga dikunjungi oleh keluarga abang kedua yang baru tiba dari Semporna sebelum mereka berangkat pulang ke Labuan pada raya kelima. Jadi raya kami tetap meriah dengan ziarah adik beradik bersama isteri dan anak masing-masing. Kesempatan itu juga kami bertukar-tukar sedekah duit hari untuk anak-anak buah, suatu amalan kekeluargaan yang sudah lama kami lakukan.

Ketika catatan ini ditulis, semua sudah kembali ke halaman masing-masing. Hidup Nenek Aji, Nenek Uban dan Nenek Uwa kembali dimeriahkan dengan kehadiran sebahagian cucu-cucu mereka. Nenek Uban khabarnya teruja untuk bertemu dengan cucu ke-20, yang baru berumur 3 minggu.

Foto di atas ialah anak kedua saya – Hana Sumayyah dan Najihah – anak kedua kepada Allahyarham Ustaz Haji Nahar Mantamin dan Kak Norsidah, yang kami sekeluarga ziarahi pada malam minggu lalu di Kg Likas. Ingatan kami kepada Allahyarham sekeluarga tidak berkurang walaupun jarang berziarah kerana hambatan urusan dunia.

Ziarah kami sekitar sejam, dan bercerita banyak hal. Kenangan terhadap Allahyarham, cabaran setelah ketiadaan ketua keluarga, masa depan anak-anak, perancangan keluarga, dan pelbagai cerita lain yang menggamit kenangan bersama. Saya pohon sahabat-sahabat bersama keluarga masing-masing berziarah dan bersilaturrahim di rumah Kak Norsidah. Saya kira beliau memerlukan dukungan kita semua terutama perkongsian semangat dan perasaan.

Untuk makluman, anak sulung Nashraf Ideen kini sedang menyambung pengajian dalam bidang tahfiz di Darul Quran, sementara Najihah dan Ahmad Naufal berada di PASTI al-Amal Kg Likas.   Sambil membaca artikel ini, harap mensedekahkan al-Fatihah kepada Allahyarham Ustaz Haji Nahar.

%d bloggers like this: