Archive for 5 September 2011


Tahniah kepada kedua pengantin Ustaz Thowiil Di Babus Salam dan Cikgu Nurul Husna @ Ann yang selamat melangsungkan perkahwinan mereka sabtu lalu di Taman Tuaran Impian, berdekatan Taman Telipok Ria.

Saya difahamkan beberapa slot walimah diadakan sejak majlis pernikahan sebelah siang sehingga ke malam. Sementara saya hanya hadir sebentar bersama keluarga pada waktu malam sekitar setengah jam saja kerana ada komitmen lain. Untuk rekod, Cikgu Ann pernah berkhidmat seketika sebagai guru PASTI al-Fathonah Taman Union 2 tahun lalu dan menjadi guru kepada anak-anak kami.

Sebulan lebih lalu, Cikgu Ann menempah saya agar menyampaikan tazkirah pada majlis resepsi mereka, dan saya persetujui tanpa banyak soal. Hanya pada majlis itu sebenarnya kurang sesuai dengan sesi tazkirah dengan suasana bising tetamu, dan dalam masa yang sama mereka sibuk bersalaman dan mengucap tahniah kepada pengantin di pelaminan mereka di pentas dewan dan kemudian lalu lalang di hadapan saya yang kononnya sedang bertazkirah.

Apapun mengadakan tazkirah itu satu percubaan yang baik, dan ia menjadi cabaran buat saya sendiri. Tahniah kepada pengantin dan keluarga, terima kasih atas undangan.

Petang jumaat, 2 September kami berkumpul dan memberi tumpuan menyantuni anak-anak khususnya kepada Farhan Najwan bin Awang Suhaizam, anak kedua abang ipar saya merangkap sepupu kepada anak-anak kami yang menyambut ulangtahun ke-9. Farhan kami panggil dia dengan A’an, adalah cucu ke-3 menurut urutan dalam keluarga Atok Bungso dan Nenek Puan Hamidah.

Raya kali ini, anak-anak buah bermalam bersama kami sejak beberapa malam terakhir Ramadhan lagi. Hubungan mereka sesama sepupu sangat akrab apatah lagi umur mereka tidak jauh berbeza, dan tambahan lagi mereka semua berada di sekitar Kota Kinabalu dan Putatan saja. Saya dan isteri menyedari A’an walaupun baru darjah 3 di SK Tebobon, sudah menunjukkan bakat kepimpinan.

Khabarnya dia salah seorang pengawas di sekolah, dan di rumah – menurut pemerhatian saya, dia sering memimpin dan mengingatkan sepupu sebayanya tentang solat. Bahkan mereka dalam banyak keadaan, solat berjamaah dan A’an menjadi imamnya. Sudah tentu ia satu perkembangan yang sangat baik dalam keluarga besar kami, apatah lagi bagi mewujudkan suasana beragama yang kondusif pada tahap anak-anak seumur mereka.

Menanggapi anak pada saat umur 7-10 tahun ini tidak mudah, apatah lagi umur ini termasuk usia penting yang disebut oleh Rasulullah SAW dalam hadithnya yang terkenal : “Suruh anak-anak kamu dengan mendirikan solat ketika umurnya 7 tahun dan pukul – jika tidak solat – ketika berumur 10 tahun, serta pisahkan tempat tidur mereka”.

Semoga kita diberikan kekuatan.

%d bloggers like this: