Ketika dalam bulan Ramadhan, ramai orang boleh memberi komitmen untuk solat berjamaah, suka bersedekah, rajin tadarrus dan tilawah, iktikaf di rumah-rumah Allah, berpakaian sopan dan menutup aurat dan pelbagai bentuk kebaikan lagi. Sayangnya banyak kebaikan dilakukan tanpa ilmu dan kefahaman Islam. Ramainya berbuat baik hanya dalam bulan Ramadhan.

Alasan sinisnya, kerana syaitan dirantai.

Para guru kita berpesan, Ramadhan itu umpama suatu madrasah atau tempat pengajian. Atau suatu perumpamaan lain, Ramadhan seperti suatu tempoh kursus sebulan dalam setahun. Maka hasilnya ternampak sesudah kursus berakhir. Memang dalam Ramadhan, semuanya serba baik dan menjadi. Tapi itu waktu kursus, semua mau markah tinggi.

Kini waktu kursus sudah berakhir, masing-masing kembali ke medan masing-masing. Sebelas bulan mendatang adalah medan sebenarnya, menguji keberkesanan kursus yang sudah dijalani sebelum ini. Jika gagal, jangan salahkan kursus yang dijalani, salahkan diri sendiri. Ketika kursus, kita banyak dibantu. Pahala berganda baik amalan wajib atau sunat, syaitan diikat, pintu syurga terbentang dan pintu neraka tertutup untuk memberi motivasi kepada diri sendiri.

Mari kita ubah kebiasaan sebelum Ramadhan dan meneruskan kebaikan dalam bulan Ramadhan sehingga selepas Ramadhan. Teruskan solat berjamaah di masjid dan surau, teruskan tilawatul Quran dan pengajian-pengajian, teruskan amalan menutup aurat, berkata baik dan sopan, menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Buktikan keberhasilan kursus Ramadhan.

Melakukan kebaikan bukan hanya dalam Ramadhan tetapi sepanjang hayat kita.

p/s : Nasihat untuk diri sendiri.