Khatib : Ustaz Ahmad Ukup

Lokasi : Masjid Nurul Iman Kg Pasir Putih Putatan

Puasa Ramadan yang merupakan ibadah khusus bagi menjana Muslim bertakwa baru sahaja berlalu pergi. Namun demikian, perginya Ramadan bukan bermakna berlalunya segala kecenderungan untuk beramal soleh. Ini kerana tuntutan melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan larangannya tiada noktahnya selagi hayat masih ada. Maka, rebutlah peluang nikmat usia yang dianugerahkan Allah untuk melakukan ketaatan, menjaga hubungan baik dengan Allah SWT dan menjaga hubungan baik sesama manusia sebelum datangnya ajal, iaitu saat dan ketikanya segala harta dan anak pinak yang ditinggalkan tiada lagi manfaatnya kecuali amal-amal soleh yang dikerjakan sewaktu hidup, sedekah jariah dan doa anak yang soleh.

Adalah menjadi kewajipan setiap Muslim untuk mengekalkan hubungan persaudaraan dan jalinan kemesraan bagi mewujudkan masyarakat yang bersatu, mahabah dan harmoni. Dan, SYAWAL yang tiba merupakan detik yang paling berharga dan bermakna setelah Ramadan untuk meneruskan amalan, menyuburkan hubungan sesama insan dan membina umat yang bersatu padu bertunjangkan agama Islam. Nilai-nilai ini dapat kita jana dan pupuk melalui amalan ziarah, bersalam-salaman dan bermaaf-maafan antara satu sama lain dalam semangat Aidilfitri di sepanjang bulan ini.

Perlakuan ini merupakan antara cara serta pendekatan dalam memenuhi tuntutan Allah SWT supaya bersatu padu dan harmoni, sebagaimana firman-Nya di dalam al-Quran:-

Yang bermaksud: “Berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuhmusuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (semasa kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah.” (S. Ali-Imraan: 103).

Melalui ayat ini, Allah memerintahkan kita semua supaya menjadikan Islam sebagai satu cara hidup dalam kerangka membina umat yang bersatu, kuat dan maju, sekali gus memperolehi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Untuk itu, Allah menyarankan kepada umat di akhir zaman ini untuk merenung kembali dan mengambil pengajaran daripada segala peristiwa yang berlaku di zaman jahiliah yang penuh dengan kekufuran seperti penyembahan berhala, penindasan terhadap kaum yang lemah, bermusuh-musuhan, hasad dengki dan pelbagai perbuatan keji lagi. Tujuannya adalah untuk mengelakkan umat akhir zaman ini daripada mengulangi kesalahan dan kesilapan yang pernah dilakukan oleh umat jahiliah supaya selamat daripada murka Allah dan azab neraka- Nya yang maha pedih.