Archive for 1 September 2011


 

PESANAN KHAS TOK GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT SEMPENA HARI RAYA

Ini sebahagian anak-anak murid mengaji Ummu Nuha, yang boleh menjawab soalan-soalan saya dengan baik.

Sehingga hari raya ketiga, sudah puluhan anak-anak yang datang secara berkumpulan (bukan dengan keluarga masing-masing) ke rumah kami. Saya sebagaimana pernah saya sebutkan lewat facebook beberapa hari lalu, (dan pernah saya praktikkan beberapa tahun lalu), membuat sedikit kajian rambang kepada kumpulan anak-anak ini berkaitan pengetahuan agama Islam mereka.

Anak-anak yang disoal-jawab berumur antara 10-14 tahun bersekolah antaranya di SK Kem Lok Kawi, SK Tansau, SK Sembulan, SK Petagas, SK Kg Contoh, SMK Tansau, dan terdapat juga yang tidak bersekolah atas pelbagai sebab. Ada yang kerana dilarang ibu bapa,  ada yang tidak mahu bersekolah dan bermacam-macam alasan lagi.

Biasanya saya pancing dahulu dengan pertanyaan ‘sekolah di mana?’, kemudian ‘darjah berapa?’. Jawapan pertama dan kedua itu memberi gambaran awal kepada saya akan tahap pendidikan dan mempengaruhi soalan-soalan berikutnya. Kemudian timbul soalan berikutnya, seperti ‘sudah pandai baca?’ – biasanya mereka kata pandai kerana sudah berumur 10 tahun ke atas.

Soalan itu menjadi perangkap kepada soalan berikutnya ‘boleh baca al-Quran?’, atau ‘sekarang sudah iqra berapa?’ Barangkali ada perasaan ‘ok’, jika mereka sedang belajar iqra atau menyertai kelas KAFA walaupun belum boleh baca al-Quran kerana mereka sedang ke arah itu. Yang malangnya ialah yang tidak tahu apa-apa langsung.

Soalan berikutnya terpecah kepada beberapa soalan umum berkaitan pengetahuan asas agama Islam. Antaranya pertanyaan ‘berapa rukun Islam?’, ‘berapa rukun iman?’, ‘sebut dua kalimah syahadah?’, ‘berapa rakaat solat subuh?’, baca surah al-Fatihah’, ‘baca doa makan’, ‘baca solawat’, ‘baca surah qulhuallah’, ‘sebut rukun-rukun islam atau iman’, ‘sebut nama beberapa orang Nabi’ dan pelbagai soalan lagi.

Soalan-soalan ringan itu kadang-kadang saya selitkan dengan soalan lebih ringan lagi, seperti ‘siapa nama ustaz atau ustazah kamu?’ sesudah saya mengetahui di mana mereka bersekolah. Kebetulan pula majoriti sekolah-sekolah berkenaan ada kenalan-kenalan dan sahabat saya. Saya selitkan juga dengan pertanyaan puasa Ramadhan yang baru berlalu, solat atau tidak dan sebagainya.

Jawapan pengetahuan Islam mereka amat mendukacitakan. MAJORITI, tidak tahu jawapan kepada soalan-soalan yang diutarakan. Apa yang boleh terbayang, seusia 13-14 tahun tidak tahu dua kalimah syahadah? Walaupun sudah dibayang dan dibantu menyebut kalimah awal “..asyhadu..” Ada yang dipimpin satu-satu sehingga ke hujung bagai seperti orang yang baru memeluk Islam.

Apa perasaan kita terhadap jawapan mereka yang tidak tahu membaca al-Fatihah, tidak tahu lima rukun Islam dan enam rukun Iman, bahkan bilangan rukun itu tidak diketahui dan dijawab secara serkap jarang saja? Apa perasaan kita mendengar jawapan mereka bila disoal berapa rakaat subuh, katanya empat rakaat, solat asar dua rakaat dan bermacam-macam lagi jawapan yang menakutkan kita akan generasi umat Islam.

Merekalah generasi pemimpin pelapis umat Islam 15-20 tahun akan datang.  Saya tidak mahu mencatat nama anak-anak berkenaan dan sekolah mereka seorang demi seorang – kerana hanya kajian rambang. Tetapi seluruh umat Islam wajib bertanggungjawab terhadap keadaan ini, bermula daripada rumah, kejiranan dan masyarakat seluruhnya terutama para pemimpin di kampung, negeri dan negara wajib memberi contoh yang baik.

Sedih juga seorang anak tidak sembahyang kerana menghadapi konflik jawapan ibu bapa. Katanya salah seorang menyuruh solat – dengan tidak bersungguh-sungguh, dan seorang lagi melarang solat. Begitu juga kefardhuan puasa diambil remeh oleh anak-anak yang sudah remaja dengan jumlah hari puasa yang sedikit berbanding hari tidak berpuasa. Kita wajar merasa bimbang dengan keadaan ini.

Dalam masa yang sama, saya turut memberi kredit kepada beberapa orang anak-anak yang datang dan memberi jawapan yang baik dan betul terhadap soalan yang dikemukakan. Saya cadangkan para pembaca turut membuat kaji selidik yang sama terhadap anak-anak yang datang sebelum duit raya disedekahkan. Dalam masa yang sama mereka tetap disantuni dan dilayan baik sebagai tetamu yang datang berhari raya.

%d bloggers like this: