Saya menunaikan janji kepada anak-anak untuk membawa mereka berbuka puasa di Hotel Shangri La di Bandaran petang tadi. Saya sudah memaklumkan perkara itu beberapa hari sebelum ini kepada mereka. Sesungguhnya ini pertama kali saya membawa mereka makan-makan di hotel. Sejak awal pagi, anak-anak terutamanya Abdul Hadi begitu teruja. Bermacam-macam soalan diajukan, maklumlah selama ini kalau pun pernah bermalam di mana-mana resort, hanya terbayang kolam mandi saja.

“Ada kerusi ka Babah di hotel tu?”

“Cukupkah meja di hotel nanti?”

“Babah, kita bawa khemah kah?”

Bukan mahu bermewah, tetapi sekadar menggembirakan hati isteri dan anak-anak. Maklum saja, dalam Ramadhan ini banyak masa saya diperuntukkan di luar rumah kerana pelbagai aktiviti yang sudah diatur. Hanya masa saya berbuka banyak bersama keluarga kecuali beberapa kali. Lagipun ini hadiah atas ketekunan dan kesungguhan mereka menunaikan ibadah puasa.

Nuha insya Allah menamatkan puasa tahun ini dengan rekod penuh. Hana (6 tahun) ada dua hari tidak berpuasa kerana demam – jika diambil kira maka rekod juga penuh kerana bukan ponteng dengan sengaja atau suka-suka. Abdul Hadi (5 tahun) berpuasa sebanyak 22 hari – ponteng pada minggu pertama dan kemudian berterusan puasa sejak hari ke-8 Ramadhan sehingga hari ini. Sebenarnya kekuatan anak-anak ini jujurnya mengalahkan saya ketika kecil dahulu.

Turut serta bersama-sama kami ialah Ustaz Haji Nor Azamuddin Umar dan keluarganya. Kami bersungkai dan bersolat magrhib bersama di surau kecil yang disediakan di tingkat dua. Terima kasih buat Chef Abdullah Ahmad yang menempah meja untuk kami bersungkai bersama-sama malam ini. Ternyata anak-anak sangat gembira.