
Saya pernah bercerita hal ini di blog ini beberapa bulan lepas. Ia berkenaan sepupu saya – perempuan berumur 20 tahun yang melarikan diri ke Sabah dari Labuan mengikut lelaki yang disukainya. Biar saya catatkan adik ini sebagai ‘H’ sahaja. Beberapa ketika selepas lari tempohari, mengikut lelaki yang berasal dari Beaufort, keluarganya berjaya menemuinya dengan kerjasama JHEAINS Beaufort dan pulang ke rumah di Labuan.
Keadaan kembali tenteram beberapa bulan.
Saya baru dapat tahu dalam Ramadhan ini, rupanya dia melarikan diri sekali lagiĀ sejak awal julai lalu. Saya mencari maklumatnya lewat facebook dan dia memaklumkan dirinya sudah berkahwin dengan lelaki berkenaan. Saya menghubungi keluarganya – yang masih punya ibu bapa dan adik beradik, mereka langsung tidak mengetahui yang H sudah berkahwin (jika benar maklumat di FB berkenaan). Bahkan perkahwinan itu dilangsungkan pada ketika dia melarikan diri kali pertama.
Ditakdirkan Allah SWT saya terserempak dengan mereka – H dan lelaki berkenaan di Hospital Likas saat saya selesai mendaftarkan anak kecil kami di pejabat pendaftaran cawangan Hospital Likas. Saya segera berpaling dan berdiri di balik tiang, padahal lucunya mereka bukan tahu yang saya sedang menyelidik mereka, lelaki itu pun bukan mengenali saya, walaupun saya tahu mukanya melalui foto di facebook.
Saya ikuti perlahan-lahan pergerakan mereka, mengecam nombor plat kenderaan mereka dan cuba mengesan setakat yang mampu saya jejaki. Melalui sumber saya yang banyak memberi bantuan, tiada rekod pernikahan dicatatkan dalam maklumat JHEAINS – ertinya kalau benar pernikahan berlangsung mereka bernikah menggunakan imam tidak bertauliah. Saya merujuk kepada Ustaz Haji Muchlish, bahawa perkahwinan tanpa wali hukumnya tidak sah berdasarkan ayat al-Quran surah an-Nisa ayat : “.. maka nikahkanlah mereka dengan izin keluarga (yakni walinya)”.
Sumber lain pula menyatakan kenderaan berkenaan adalah kenderaan sewa dari sebuah syarikat yang berpejabat di Sepanggar. Lelaki berkenaan bertugas di sebuah supermarket di Penampang. Sayangnya saya terlepas pergerakan mereka kerana keadaan kenderaan yang banyak saat itu. Proses yang ingin saya lanjutkan ialah di mana mereka tinggal ketika ini supaya pihak penguatkuasa agama boleh bertemu mereka.
Saya dimaklumkan H menutup atau barangkali menukar nombor simkadnya sehingga keluarganya gagal menghubunginya. Saya benar-benar kasihankan keluarganya yang tentu saat ini merinduinya. Sebenarnya cara lain masih ada dan saya belum berputus asa untuk mengesannya. Hanya masa saya terbatas untuk menyelidikinya kerana urusan-urusan yang lain.
p/s : Saya kira kes-kes sebegini sangat banyak. Timbul perangai derhaka kepada orang tua, pergaulan bebas, hidup berkesedudukan dan seumpamanya. Sangat membimbangkan gejala ini menular dalam keluarga besar kami dan dalam masyarakat Islam.