Archive for 25 Ogos 2011


Saya kira dalam majlis-majlis penyerahan sumbangan beras, program yang berlangsung ahad lalu di Masjid Hilal Kg Tanjung Dumpil adalah yang palingĀ  meriah rasanya. Majlis disekalikan dengan majlis berbuka puasa @ sungkai bersama penduduk kampung dan para penerima anjuran Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah.

Majlis dimulakan dengan penyampaian sumbangan beras kepada hampir 70 penerima dari tiga kampung berdekatan iaitu Kampung Sri Pandan, Kampung Linsuk dan Kampung Contoh. Sumbangan disampaikan bersama-sama oleh Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim, Ustaz Haji Nor Azamuddin Umar, Ustaz Haji Khir Abdullah dan Lahirul Latigu. Alhamdulillah, rakan-rakan dari Surau Riyadhus Solihin Taman Austral turut hadiah memberi sokongan dan menyantuni penduduk kampung khususnya para penerima.

Ustaz Nor Azamuddin Umar pula memimpin solat tarawih pada malam berkenaan yang turut dihadiri oleh para jamaah lainnya. Majlis berakhir sekitar jam 9.30 malam. Setinggi penghargaan kami ucapkan kepada semua pihak khususnya tuan rumah JK Masjid Hilal di atas kesudian menerima dan membenarkan kami mengadakan majlis berkenaan di masjid yang baru dan indah ini. Semoga masjid baru yang bernilai RM1 juta ini akan terus makmur dan mendapat rahmat Allah SWT.

Seperti beberapa tahun kebelakangan, tahun ini Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Negeri Sabah sekali lagi menganjurkan program tahunan mereka mengumpulkan lebih 150 warga AIM seluruh Sabah dalam bulan Ramadhan. Beberapa sahabat terlibat dalam mengisi program yang diadakan di Dewan Kinabalu TaHa D’Bayu, Jalan Sembulan. Antara yang terlibat ialah Ustaz Rafihi Derim (IPG Gaya), Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim, Khairul Yusri (Yayasan Amal), dan saya sendiri.

Kali ini saya diamanahkan tajuk ‘Kerja Sebagai Ibadah’ untuk dibentangkan di hadapan mereka semua pada petang jumaat 19 Ogos lalu. Ia meliputi niat, pemilihan dan pelaksanaan kerja, natijah serta tidak mengabaikan ibadah khusus seperti solat. Mudah-mudahan perkongsian ilmu mendapat ganjaran oleh-Nya apatah lagi kita semua berada dalam bulan Ramadhan.

Tahun lepas ketika memberi ceramah berkaitan solat, saya jelaskan dalam pertemuan kali itu, tiada siapa boleh mengetahui bahawa dia akan hadir dalam program tahun pada tahun-tahun mendatang. Rupanya ia menjadi kenyataan, kerana saya dimaklumkan ada seorang warga AIM Sabah yang kembali kerahmatullah pada syawal tahun lalu, beberapa minggu selepas pertemuan mereka berlangsung.

%d bloggers like this: