Sebelah malam selepas solat tarawih dan witir diadakan majlis ringkas penyampaian sumbangan beras kepada 40 penerima di Masjid Nurul Iman Kg Pasir Putih Putatan. Majlis penyampaian dilakukan sendiri oleh pengerusi Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim bersama Pengerusi JK Masjid Nurul Iman Tuan Haji Matin Datuk Imam Pandin.

Sebenarnya kami sangat bertuah apabila menggerakkan PUM Sabah, meski banyak programnya didukung oleh orang muda, Ustaz Haji Muchlish banyak memberikan peranannya tersendiri terutama nasihat, bimbingan dan cadangan. Sesetengah program seperti ‘sekampit beras’ ini sendiri diadakan menerusi cadangan SMS saja dan ia terus direstui oleh beliau. Maka kamilah beberapa tenaga muda menggerakkannya melalui kuliah, blog dan facebook. Tidak ketinggalan iklan-iklan lewat beberapa masjid dan surau. Ustaz juga membantu promosi melalui ceramah dan kuliah yang disampaikannya di sana sini.

Namun demikian setiap pergerakan dan sumbangan yang diterima semuanya dimaklumkan dan berada dalam pengetahuan Ustaz Haji Muchlish sendiri. Masjid-masjid pula banyak memberikan sokongan dan kerjasama terutama sebagai tuan rumah dan menyediakan senarai penerima. Dalam kes di Masjid Kg Pasir Putih ini, orang perantaraannya ialah Ustaz Mohd Sabri Ibrahim dan Ustaz Muchlish sendiri memantau kelicinan programnya.

Sesuatu yang menyayat hati kami ialah pada malam penyerahan sumbangan berkenaan, ada seorang penerima tidak dapat hadir kerana kurang sihat. Maka sumbangan beras itu diterima bagi pihaknya oleh orang lain, dan khabarnya disampaikan ke rumahnya pada malam itu juga. Penerima sebenar sempat mengetahui namanya tersenarai sebagai penerima dan mengetahui sekampit beras berkenaan sampai ke rumahnya.

Pada keesokan paginya kami mendapat maklum beliau berkenaan meninggal dunia. Beliau dikhabarkan adalah seorang jamaah masjid yang sangat komited solat berjamaah meskipun dalam keadaan bertongkat dan uzur. Hanya barangkali malam berkenaan beliau benar-benar tidak dapat hadir. Semoga Allah mencucuri rahmat keatas ruh Allahyarham dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat.