Satu pesanan ringkas (SMS) yang diterima oleh Tuan Haji Mohd Pozi pada pagi sabtu sedikit mengejutkan dan tidak disangka-sangka. Sekumpulan anak-anak muda Sabah yang merupakan penyokong kelab bolasepak liga perdana Inggeris – Chelsea memaklumkan hendak datang ke Surau Riyadhus Solihin Taman Austral untuk menghantar sumbangan beras.

Mereka datang selepas solat asar dengan dua buah kenderaan menghantar sumbangan keseluruhannya sebanyak 500kg beras. Menurut ketuanya, Sdr Isnin beliau menunaikan solat tarawih di surau ini dan mendengar pengumuman-pengumuman infaq termasuk sumbangan beras kepada golongan memerlukan. Katanya, mereka berbincang dan akhirnya memberi mandat kepadanya dan beberapa orang lagi untuk menyampaikan sumbangan ikhlas mereka. Kami dimaklumkan lebih 200 peminat Chelsea didaftarkan di Sabah.

Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim yang menerima sendiri sumbangan berkenaan menyatakan ucapan penghargaan dan terima kasih atas keprihatinan mereka walaupun sebagai penyokong bola sepak, tetap memberikan sumbangan bermakna kepada umat Islam. “Kamu adalah mereka yang selalu bergembira ketika menonton bola sepak, jadi ini adalah masa untuk kamu mengingati orang yang susah”, pesan Ustaz Muchlish.

Ustaz Muchlish juga menjelaskan bahawa program Sumbangan Sekampit Beras ini akan diteruskan selepas bulan Ramadhan nanti memandangkan kepada sambutan hebat yang diberikan oleh masyarakat prihatin bagi Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) dan NGO’s yang lain menabur khidmat kepada masyarakat yang kurang berkemampuan. Untuk rekod, beras yang sudah diagihkan adalah sekitar 700 kampit, belum termasuk sumbangan dalam bentuk duit yang akan dibelikan beras nanti.

Menarik saya dan rakan-rakan fikirkan, kelab penyokong Chelsea di Sabah sudah memberikan sumbangan. Harap-harap kelab penyokong bola sepak ternama yang lain turut tampil menghulur sumbangan mereka. Mana penyokong Manchester United, Liverpool, Arsenal, Everton, Aston Villa dan kelab-kelab penyokong bola sepak di Eropah yang lain. Sila zahirkan diri anda dan sampaikan maklumat ini kepada kelab penyokong kalian.