Semalam isnin, saya terlambat hadir ke Masjid Negeri Sabah kerana urusan yang tidak dapat dielakkan. Saya tiba sedang sebahagian jamaah mulai turun ke bawah, sebahagian jamaah lagi solat sunat ba’diyah zuhur dan kemudian mendengar tazkirah zuhur. Hari ini pula saya sempat zuhur bersama-sama jamaah yang lain walaupun sedikit terlambat.

Alhamdulillah, masuk minggu keempat jamaah zuhur masih ramai sehingga ke saf yang 11-12 merangkumi 700-800 jamaah tanpa mengambil kira mereka yang masbuq selepas itu (yang tentunya lebih ramai) termasuk yang di bawah. Beruntungnya umat Islam kerana Masjid Negeri Sabah terletak di lokasi yang strategik, di kelilingi oleh kampung, taman perumahan dan kompleks pentadbiran kerajaan dan swasta seperti Wisma MUIS, JKR, Rumah Persekutuan, USIA, Wisma Kewangan, Muzium Sabah, Hospital Queen Elizabeth, Menara Petronas, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Mahkamah Syariah, SMUI Toh Puan Hajah Rahmah, Hotel Yaho, Wisma Kebajikan, Hotel TaHa D Bayu (Tabung Haji) dan banyak lagi.

Jadi kedudukannya di tengah-tengah itu sepatutnya lebih memudahkan umat Islam hadir di masjid khususnya pada waktu zuhur. Semoga Masjid Negeri Sabah terus makmur dengan kehadiran jamaah pada waktu-waktu solat dan program-program lain.