Sambil lalu untuk pulang, kami ditunjukkan dengan satu projek makmal komputer yang terbengkalai sejak tahun 2009 di SK Pulau Sepanggar, menurut penduduk pulau berkenaan. Untuk rekod terdapat 415 ratus pelajar di sekolah ini dan sebahagiannya datang dari tanah besar khususnya dari arah Kg Numbak Sepanggar. Kata mereka, dahulunya pelajar dari Numbak tinggal di pulau ini dan kemudian berpindah. Meski sudah berpindah, anak-anak masih bersekolah di sini.

Maklumat yang kami terima, belum ada sejarah anak-anak sekolah ini yang mendapat keputusan 5A dalam UPSR. Keputusan terbaik pernah dicatatkan (kalau tidak salah) ialah hanya 2A sahaja. Saya kira pihak berkenaan melihat secara serius infrastruktur bermasalah yang dimaksudkan agar pembelajaran mereka tidak terjejas. Kepada penduduk kampung yang menemani ziarah kami, saya doakan ada anak-anak di sekolah ini yang mendapat keputusan cemerlang pada tahun ini dan tahun-tahun mendatang.