Kami bercerita panjang dengan Ustaz Suhaili Kasmin, orang Kg Buang Sayang Papar yang sudah menetap lebih 25 tahun di Pulau Sepanggar ini kerana dijodohkan dengan orang sini. Beliau adalah lepasan SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah antara tahun 1979-1983, dihormati masyarakat di pulau sebesar 9.5 hektar ini.

Masjid Pulau Sepanggar ini dibina pada tahun 1986 dan mengalami beberapa pembaikan sehingga kini. Menurut Ustaz Suhaili, ada kelas KAFA di sini yang membimbing anak-anak tentang Islam. Dalam bulan Ramadhan, masjidnya makmur dan dipenuhi jamaah dengan majlis solat tarawih, tadarus dan moreh.

Hanya satu yang masih belum begitu berjaya, kata Ustaz Suhaili.

Umat Islam ramai di sini, tetapi yang hadir solat jumaat hanya sekitar 20 orang sahaja. Justeru kempen dan kefahaman mesti diteruskan terhadap golongan lelaki mukallaf untuk sama-sama mengimarahkan masjid ini. Saya kira semua pihak seperti JHEAINS, JAKIM, NGO Islam dan umat Islam wajar gembeling tenaga membantu mereka dan umat Islam di sini khususnya agar masjid mereka terus dan bertambah makmur. Dalam kunjungan kami, sedikit sumbangan RM500 diserahkan kepada JK Masjid untuk program pengimarahan yang mereka jalankan.