Mereka yang membaca sirah Nabawi dan para sahabat baginda SAW akan mengetahui siapa dia Sayyidina Hamzah bin Abdul Muttalib. Beliau adalah seorang tokoh hebat, pejuang handalan, ketua syuhada’ umat Islam yang juga pakcik kepada Rasulullah SAW.  Hamzah meski pangkat pakcik kepada Nabi Muhammad, beliau juga adalah dikira adik beradik susuan kerana Hamzah dan Rasulullah pernah sama-sama menyusu dengan Thuwaibah hamba perempuan kepada Abu Lahab ketika mereka berdua masih kecil.

Sayyidina Hamzah seorang yang bertubuh tegap, ahli memanah dan pakar menunggang kuda. Digelar ‘asadullah’ bererti Singa Allah kerana kehebatannya dalam pertempuran dan peperangan melawan musuh. Sayyidina Hamzah terlibat dalam dua peperangan besar iaitu Perang Badar dan Perang Uhud, di mana ketika perang uhud beliau telah mati syahid akibat rejaman lembing yang dilemparkan oleh Wahsyi, seorang hamba berkulit hitam.

***

Sirah perjuangan Sayyidina Hamzah tetap dalam ingatan.

Namun ketika berziarah dan bersilaturrahmi di Pulau Sepanggar semalam, saya terkejut dengan seorang penerima sumbangan bernama Sayyidina Hamzah. Beliau baru berumur 30 tahun, anak jati pulau ini. Katanya sejak umur belasan tahun telah diuji Allah dengan matanya yang 95% buta. Hanya nampak sebelah bawah / lantai tetapi dalam ruang yang amat sedikit.

Ketika namanya disebut, beliau tampil kehadapan tanpa kami mengetahui beliau sebenarnya seorang yang cacat penglihatan. Matanya terbuka seperti biasa, berjalan seperti biasa ke arah hadapan menerima sekampit beras dan bersalam dengan tetamu di hadapan seperti biasa. Ketika majlis berada di penghujung, azan zuhur mula berkumandang dan kami berangkat ke masjid yang tidak jauh dari situ. Saya tertanya-tanya kepada orang di sana : “Mana satu Sayyidina Hamzah?”

“Itu ustaz yang kedengaran suara azan, dialah bilal kami Sayyidina Hamzah”, kata mereka. Semoga Sayyidina Hamzah bersabar dengan ujian Allah SWT dan meneruskan kerja-kerja memanggil umat Islam di Pulau Sepanggar agar datang mengimarahkan masjid mereka.