Misi menyampaikan sumbangan beras diteruskan ke Pulau Sepanggar, kira-kira 10-15 minit dari Pulau Gaya. Program di sini diadakan di balai raya dengan kehadiran sebahagian penduduk kampung, JKKK dan AJK Masjid diketuai oleh Abdul Razak Sinti (pengerusi JKKK) dan Ustaz Suhaili – guru agama yang sudah berkhidmat lebih 25 tahun di sini. Mereka beramai-ramai membantu mengangkat beras ke lokasi majlis diadakan. Kami dimaklumkan jumlah rumah tidak sampai 70 buah rumah dan penduduk dengan jumlah sekitar 400 penduduk.

Tiba di sini buat pertama kali, saya sudah terpersona dengan keindahan dan kejernihan air lautnya dan kejutan pertama kami ialah kehadiran puluhan ekor monyet di perkarangan sekolah, balai raya dan masjid. Bahkan beberapa kampit beras yang kami tinggalkan di dalam bot untuk kami sedekahkan kepada kedua-dua pemandu bot juga sempat dirosak dan dibocorkan oleh monyet-monyet berkenaan, walaupun kedudukan jeti agak jauh sedikit dari daratan.

Dari sisi kami, orang yang banyak berperanan mengatur hubungan dan program ini agar diadakan di pulau ini ialah Ustaz Mohammad Suaid yang satu ketika dahulu pernah ditugaskan di SK Pulau Sepanggar ini ketika pertama kali berkhidmat di Sabah. Walaupun khidmatnya tidak sampai setahun, tetapi hubungan baik dengan beberapa orang rakannya di sini dijaga baik. Khidmatnya di sini meski sebentar, telah menimbulkan gelaran Mad Sepanggar kepadanya ketika itu.

Alhamdulillah, Ustaz Ariff diamanahkan menyampaikan sedikit tazkirah ringkas berkenaan Ramadhan, menyentuh tentang betapa perlunya umat Islam mengambil berat tentang ibadah-ibadah Ramadhan. Sumbangan yang dihulurkan ini juga katanya adalah hasil kesedaran umat untuk berkhidmat dan berinfaq khususnya kepada mereka yang kurang berkemampuan. Sumbangan beras disampaikan oleh Lahirul Latigu mewakili NGO Islam dan para penyumbang yang budiman.