Dua buah bot dengan kekuatan anggota 14 orang aktivis dan lebih 60 kampit beras sempat kami hantar ke dua lokasi pada hari ini. Kami berkumpul di jeti berdekatan Masjid al-Aman Pasar Sinsuran sekitar jam 10 pagi dengan 3-4 buah kenderaan  masing-masing. Alhamdullillah, kedua-dua rakan yang bertugas di Pulau Gaya, Ustaz Azman dan Haji Bob melakukan sedikit persediaan seperti tempahan bot laju serta menyediakan penerima seramai 30 orang di sini.

Memang, jika diikutkan 30 penerima itu terlalu sedikit dibandingkan kehidupan masyarakat di sini yang rata-ratanya hidup susah. Saya tidak tahu jumlah penduduk di pulau ini, tetapi saya dimaklumkan jumlah pengundi lebih daripada 2000 orang. Namun demikian diajar agama, jika tidak mampu buat semua, jangan tinggal semua. Dalam konteks ini, kalau tidak mampu menyumbang banyak, jangan langsung tidak menghulur sumbangan.

Ketibaan kami disambut baik oleh para penerima yang bersiap menunggu kami di lokasi. Ada yang datang bersama-sama dengan keluarga dan anak-anak kecil. Alhamdulillah, majlis ringkas dan santai diadakan sekadar di jeti dengan pengisian tazkirah oleh Ustaz Mad, penyampaian sumbangan dan sesi bergambar. Insya Allah, jika tiada aral melintang, di hati saya mahu datang lagi untuk menghulur sumbangan. Jika tidak sempat dalam Ramadhan, lepas Ramadhan pun kami akan datang lagi.