Alhamdulillah, berkat kerjasama pelbagai pihak, Surau Riyadhus Solihin Taman Austral malam ini selesai menyampaikan sumbangan hari raya kepada 150 orang penerima terdiri daripada anak yatim, fakir miskin, pelajar susah, pelajar-pelajar pondok dan sebagainya. Sumbangan yang diterima berbentuk duit hari raya dan buah tamar.
Sudah menjadi kebiasaan dalam bulan Ramadhan, ramai pihak menghulur sumbangan, bantuan, majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim khususnya yang berada di institusi rumah anak yatim yang ada seperti di Tambunan, Beaufort, Tuaran, Ranau dan sebagainya (sekadar menyebut beberapa nama). Namun ramai juga anak-anak yatim yang tidak berada di rumah anak yatim tetapi tinggal di rumah sendiri atau penjaganya terabai daripada menerima bantuan seumpama ini.
Maka demikian sejak beberapa tahun kebelakangan Surau Austral tidak putus mengadakan majlis seumpama ini dengan sasaran kepada anak-anak yatim dari sekolah sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan. Mudah-mudahan usaha murni ini mendapat rahmat dan keberkatan Allah SWT.