Setinggi penghargaan buat Chef Abdullah Ahmad, chef di Hotel Shangri La Bandaran Berjaya yang membelanja kami makan berbuka puasa petang tadi di sana. Beliau adalah juga AJK Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah yang sentiasa memberikan komitmen dalam tugas-tugas kesukarelawanan khususnya dalam menjayakan aktiviti syukbah dakwah yang dipengerusikan oleh Ustaz Haji Muchlish.

Ustaz Muchlish dan Ustazah Elfi sendiri hadir bersama ramai AJK dan beberapa jamaah Masjid Negeri, rakan-rakan beberapa Darussyifa’ Sabah. Saya sendiri tiba ketika azan sedang berkumandang. Zaman ‘kegemilangan’ di Istana dahulu memang agak kepuasan saya bersungkai di banyak hotel mewah dan terkenal di sekitar Kota Kinabalu kerana mengiringi rombongan TYT Tun. Selepas berpindah, bukan tiada yang mengundang bersungkai di hotel, tapi saya sendiri yang keberatan dan lebih selesa berbuka di rumah.

Kata Chef Abdullah, harga makan untuk seorang ialah RM55.++ sahaja untuk dewasa. Oleh kerana saya datang sendirian kerana isteri baru bersalin, insya Allah saya akan datang semula untuk membawa keluarga berbuka di sini sebelum hari raya menjelang. Ia menjadi salah satu hadiah untuk anak-anak khususnya Nuha, Hana dan Hadi yang berhempas pulas berpuasa tahun ini.