Selamat dilahirkan pada 12.40 pagi tadi, bayi lelaki dengan berat 3.3kg.

Sebenarnya tarikh jangkaan isteri saya bersalin ialah pada 15 Ogos lalu. Tetapi berdasarkan pengalaman kelima-lima anak sebelum ini, semuanya lahir lebih awal daripada tarikh jangkaan, paling tidak sehari sebelum. Maka sebahagian besar undangan-undangan Ramadhan kali ini melibatkan tugasan imam tarawih, majlis berbuka puasa atau ceramah Ramadhan terpaksa saya tolak bagi memberi persediaan dan tumpuan kepada isteri yang dikasihi.

Tarikh 15 Ogos berlalu, ada suara kawan-kawan mengatakan, barangkali bayi di dalam perut kurang agresif di dalam Ramadhan, atau mencari takdir lahir pada 17 Ramadhan? Tiba-tiba saja saya teringat tarikh itu kerana saya merancang memberi nama anak ini seorang tokoh hebat zaman Rasulullah SAW. Maka menjelang hari-hari kebelakangan, selain mendoakan proses kelahiran berjalan lancar dan selamat, doa saya juga agar tarikh 17 Ramadhan menjadi hari bersejarah buat kami.

Sejak tarikh 15 Ogos, saya kerap mengingatkan isteri agar bersedia ke Hospital Likas selewat-lewatnya tengahari esoknya (16hb Ogos), memandangkan beberapa hari sebelum itu saya sudah mebuatkan sendiri sebotol air selusuh, mengikut apa yang tercatat lewat buku Ybhg Tuan Guru Dato Dr Haron Din yang menjadi rujukan kami dalam kelas pengajian Darussyifa’ Sabah. Maka selepas zuhur semalam, saya membawa isteri ke Hospital Likas dan dia mula masuk wad (Kenanga 1) sekitar jam 4 petang.

Petang itu kami bersungkai bersama dengan dua tapau nasi ayam dan dua gelas air sirap tanpa suara dan gangguan anak-anak yang semuanya saat itu berada di rumah bersama atok dan nenek mereka. Sebelum pulang, saya ingatkan isteri beberapa ayat dan zikir mudah untuk dibaca ketika saat hendak bersalin. Saya keluar, bermaghrib di Masjid Kg Bangka-Bangka dan isyak serta tarawihnya di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral Kepayan.

Saya pulang rumah hampir tengah malam dan anak-anak sudah ‘berkelamparan’ di ruang tamu. Saya sendirian di bilik dan tidak mengambil masa yang lama untuk belayar dan hanya tersedar sekitar jam 4 pagi. Rupanya isteri saat itu sudah selamat melahirkan anak lelaki pada jam 12.40 tengah malam tadi. Alhamdulillah.

Pagi ini saya menziarahinya sendirian. Katanya ini proses bersalin yang paling mudah (?). Masuk dewan bersalin jam 12.15 pagi dan bersalin 25 minit kemudian tanpa sempat disambut oleh jururawat. (Saya mengajarnya membaca dalam hati : “Thummas sabiila yassarah”). Alhamdulillah. Doa kami agar Abdul Hadi mempunyai adik lelaki diperkenankan oleh Allah SWT. Dan ini melengkapkan cucu ke-20 di sebelah keluarga saya dan cucu ke-17 di sebelah keluarga isteri saya.

Petang ini, isteri dan bayi kami dibenarkan keluar dan khabar gembira kelahiran ini kami kongsi sejak awal pagi lagi bersama rakan-rakan FB yang turut mengucapkan tahniah – tidak kurang 100 orang yang klik ‘like’. Terima kasih atas doa kalian semua, semoga anak ini menjadi penyejuk mata dan hati kami. Saya turut bercuti selama seminggu untuk membantu urusan rumahtangga.