Menurut Tuan Haji Farid Abdullah, selaku ketua kelas ar-Raudhah yang beroperasi setiap ahad di dewan Maahad Tahfiz al-Quran, Kepayan, jumlah pelajarnya sekitar 60 orang – semuanya merupakan saudara kita bagi mereka mendalami agama Islam.  Beberapa tahun kebelakangan, kelas pengajian untuk saudara kita di Kota Kinabalu hanya diadakan pada setiap sabtu yang dikenali sebagai kelas Teratak Fitrah. Kemudian, atas permintaan ramai – kerana ramai juga yang bekerja pada hari sabtu, maka Bahagian Dakwah JHEAINS juga membuka kelas ini pada setiap ahad tetapi di lokasi yang berlainan.

Meski bangunan Maahad Tahfiz bukanlah asing kepada saya, jujurnya ini pertama kali saya datang menziarahi kelas ar-Raudhah khususnya untuk hadir bersama-sama menyampaikan sumbangan. Majlis ringkas didahului dengan tazkirah oleh Ustaz Sofi Ibrahim al-Hafiz dari Perak. Antara lain isi kandungan tazkirahnya ialah memberi motivasi kepada kesungguhan mereka mendalami agama Islam, kerana orang yang diberikan kefahaman di dalam urusan agama termasuk orang yang mendapat kebaikan daripada Allah SWT.

Majlis disempurnakan dengan penyampaian sumbangan beras kepada 20 penerima terpilih, disampaikan bersama-sama oleh Ustaz Sofi dan Ustaz Jasimin Mohd Rashid dari Bahagian Dakwah JHEAINS, sambil disaksikan oleh tenaga pengajar dan para pelajar yang hadir bersama-sama. Dalam majlis sama, 15 lagi penerima dari kampung berhampiran iaitu Kampung Bunga Raya turut menerima sekampit beras setiap seorang.